KUANTAN - Program Town Hall Rakyat (THR) Sinar Harian bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjadi platform komunikasi dua hala antara kerajaan negeri dengan rakyat khususnya dalam memahami keperluan dan aspirasi masyarakat setempat.
Wan Rosdy berkata, program itu memberi ruang kepada kerajaan negeri berinteraksi secara lebih dekat dengan rakyat selain berkongsi maklumat mengenai dasar, pencapaian dan perancangan pembangunan negeri.
Menurutnya, sambutan kepada penganjuran program itu pada November tahun lalu yang begitu menggalakkan memperlihatkan keperluan rakyat terhadap ruang interaksi secara langsung bersama kepimpinan kerajaan negeri.
"Kita bukan sahaja perlu menyampaikan maklumat berkaitan dasar, pencapaian dan perancangan pembangunan, malah perlu sentiasa terbuka mendengar pandangan, cadangan serta permasalahan yang dihadapi rakyat.
“Bagi saya, hubungan antara kerajaan dengan rakyat tidak boleh bergantung kepada komunikasi sehala semata-mata. Kita perlu mendengar sendiri suara rakyat supaya dapat memahami keperluan sebenar mereka selain meneliti perkara yang boleh ditambah baik," katanya kepada Sinar Harian.
Program THR Sinar Harian Bersama Menteri Besar Pahang itu dijadual berlangsung jam 8.30 malam di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis, Isnin ini.
Program selama satu jam 30 minit itu turut bersiaran secara langsung serentak di semua platform digital Sinar Harian.
Program tersebut merupakan edisi ketiga anjuran Sinar Harian dengan kerjasama Unit Komunikasi Strategik (UKS) Pahang dalam menyantuni rakyat negeri itu di mana sebelum ini diadakan di Karangkraf Shah Alam pada 17 Januari 2025 manakala di Kuantan pada 11 November tahun sama.
Sementara itu, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, melalui program itu, rakyat berpeluang mengemukakan soalan, berkongsi pandangan serta mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan pentadbiran dan pembangunan negeri.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Tok Wan melihat program itu turut memberi ruang kepada kerajaan negeri berkongsi maklumat mengenai pelbagai inisiatif, pencapaian dan perancangan pembangunan yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Kejayaan sesebuah kerajaan bukan sekadar diukur melalui angka dan pencapaian, tetapi juga berdasarkan sejauh mana manfaat pembangunan dapat dirasai oleh rakyat, termasuk masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
"Justeru, pemilihan Lipis sebagai lokasi penganjuran THR Sinar Harian kali ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk mendekati rakyat di pelbagai daerah bagi memastikan suara daripada setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian sewajarnya," ujar beliau.
Jelas Wan Rosdy, setiap daerah ada keperluan dan cabaran tersendiri justeru beliau mahu mendengar sendiri pandangan masyarakat, termasuk berkaitan kemudahan asas, pendidikan, peluang ekonomi, kebajikan dan pembangunan setempat.
“Pandangan dikemukakan rakyat akan menjadi input untuk diteliti kerajaan negeri dan agensi berkaitan mengikut keutamaan serta bidang kuasa masing-masing.
"Penganjuran THR Sinar Harian kali ini juga bertepatan menjelang pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 20 November ini, apabila pandangan rakyat boleh menjadi antara input dalam mengenal pasti keutamaan perbelanjaan dan pembangunan negeri," katanya.
Tambahnya, belanjawan bukan sekadar angka dan peruntukan sebaliknya memerlukan penelitian terhadap keperluan rakyat, kemampuan kewangan negeri serta keutamaan pembangunan secara menyeluruh.
Beliau berkata, THR Sinar Harian yang turut bersiaran secara 'live' di platform media sosial membolehkan lebih ramai rakyat mengikuti program berkenaan, termasuk mereka yang tidak berkesempatan hadir ke vanue acara di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis.
"Pendekatan ini sebenarnya selaras dengan usaha kerajaan negeri memanfaatkan teknologi bagi meluaskan capaian maklumat dan membuka ruang penyertaan rakyat dengan lebih mudah.
"Jadi Tok Wan mengajak seluruh rakyat Pahang, khususnya penduduk Lipis dan kawasan sekitarnya bersama-sama mengikuti program ini sama ada secara bersemuka mahupun menerusi siaran langsung di platform media sosial.
“Tok Wan juga berharap rakyat dapat menggunakan ruang ini untuk bertanya, menyampaikan pandangan dan mengemukakan cadangan secara matang serta membina," ujarnya.
Katanya lagi, kerajaan negeri sentiasa mendengar suara rakyat, meneliti keperluan mereka dan berusaha mencari penyelesaian yang bersesuaian demi memastikan pembangunan negeri terus bergerak ke hadapan dan manfaatnya dapat dinikmati bersama.