Air terawat akhiri penantian penduduk Sungai Chalit

Iklan
LRA Sungai Klau menjadi sumber bekalan air terawat sekali gus menamatkan gangguan bekalan air yang berlarutan di Kampung Sungai Chalit.

RAUB - Penantian bertahun-tahun penduduk Kampung Sungai Chalit untuk menikmati bekalan air bersih berakhir apabila projek penambahbaikan sistem bekalan air berjaya disiapkan, sekali gus menamatkan episod gangguan yang sekian lama membelenggu kehidupan mereka.

Sebelum ini, penduduk terpaksa bergantung kepada air sungai untuk kegunaan harian termasuk memasak, membasuh pakaian dan membersihkan diri, malah ada yang membeli air mineral untuk diminum apabila bekalan air paip terputus sehingga seminggu.

Iklan
Iklan

Bekalan air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Klau bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk, malah mengembalikan keselesaan hidup lebih 100 keluarga yang sebelum ini berdepan pelbagai kesukaran akibat masalah bekalan air.

Kini, episod sukar itu berakhir apabila penduduk menikmati bekalan air terawat daripada LRA Sungai Klau hasil projek penambahbaikan sistem bekalan air yang dilaksanakan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

Iklan

Ketua Kampung Sungai Chalit, Jumahadi Md Taib berkata, masalah bekalan air di kampung itu berpunca daripada paip utama yang kerap pecah sehingga menyebabkan gangguan berulang.

Jumahadi

Iklan

Menurutnya, isu berkenaan telah lama dibangkitkan kepada pihak berkaitan sebelum usaha penambahbaikan dilaksanakan.

“Dulu bekalan air ada sekejap kemudian terputus semula. Penduduk memang hidup dalam keadaan tidak selesa.

Beliau berkata, walaupun Kampung Sungai Chalit hanya mempunyai lebih 100 rumah, penduduk bersyukur apabila masalah yang membelenggu mereka sejak sekian lama akhirnya berjaya diselesaikan.

Senada dengan Jumahadi, suri rumah, Zaini Deris berkata, pengalaman berdepan gangguan bekalan air sehingga seminggu merupakan detik paling sukar buat keluarganya.

Zaini

Katanya, mereka menggunakan air sungai untuk mandi, memasak dan membasuh pakaian, manakala air mineral dibeli untuk diminum.

“Penghantaran air menggunakan lori tangki yang tidak menentu turut menambahkan kesukaran penduduk kampung, terutamanya apabila bekalan air di rumah habis.

“Perkara yang paling menyedihkan ialah apabila cucu saya terpaksa ke sekolah tanpa mandi kerana tiada air. Kasut sekolahnya juga sukar dicuci kerana kami perlu berjimat menggunakan bekalan air yang ada,” katanya.

Zaini turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha menyelesaikan masalah yang sekian lama membebankan penduduk.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Tok Wan (Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) kerana membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Menurutnya, keadaan kini jauh berbeza apabila bekalan air sentiasa tersedia dan urusan harian kembali lancar.

Turut berkongsi pengalaman, Rosnah Abdullah berkata, keluarganya sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada air sungai kerana rumah mereka tidak menerima bekalan air paip.

Rosnah

“Memang susah apabila terpaksa menggunakan air sungai untuk semua urusan.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, kerajaan negeri dan wakil rakyat kerana sekarang dapat merasai air paip,” katanya.

Lega bekalan air pulih

Bagi Kamsiah Tandan, ketiadaan bekalan air paip sebelum ini memaksanya menggunakan air sungai dan mendapatkan bekalan daripada jiran untuk memenuhi keperluan keluarga.

“Kami mengunakan air sungai untuk membasuh pakaian. Kami terpaksa mengambil bekalan air bersih daripada jiran dan membayar secara ansuran pada setiap bulan.

Sementara itu, suri rumah, Azizah Ismail berkata, masalah bekalan air yang berlarutan hampir enam tahun amat membebankan keluarganya, lebih-lebih lagi kerana perlu menguruskan anak orang kurang upaya (OKU).

“Alhamdulillah, sekarang hidup lebih mudah. Kami tidak perlu lagi risau apabila hendak memasak atau mandi,” katanya.

Seorang pekebun, Abdul Hamid Yusuf pula berkata, ketiadaan bekalan air sebelum ini turut menimbulkan kesukaran ketika berlaku kematian kerana penduduk memerlukan lori tangki untuk urusan pengurusan jenazah.

Abdul Hamid

“Apabila bekalan air sudah stabil, semua urusan menjadi lebih mudah. Air bersih dan tekanannya juga kuat,” katanya.

Bagi suri rumah, Wong Ngan Har berkata, gangguan bekalan air sebelum ini menyukarkan urusan memasak dan membasuh pakaian, terutama ketika anaknya masih kecil.

Ngan Har

"Anak saya masih kecil ketika itu, jadi memang sukar. Hendak memasak tidak boleh, begitu juga mencuci pakaian.

“Sekarang bekalan air sentiasa ada dan tekanannya juga kuat. Tiada lagi masalah seperti dahulu. Terima kasih kepada Tok Wan kerana menyediakan bekalan air,” katanya.

8,000 pengguna Bilut turut terima manfaat

Selain Kampung Sungai Chalit, projek penambahbaikan sistem bekalan air itu turut memberi manfaat kepada penduduk Taman Raub Utama, Taman Liman dan Bilut.

Seramai 160 pengguna di Taman Raub Utama dan Taman Liman menerima bekalan lebih stabil hasil kerja penggantian paip di bawah Projek HLP Fasa 1.

Pembinaan tangki prasedimentasi di Bilut pula memberi manfaat kepada kira-kira 8,000 akaun pengguna yang kini menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Sungai Bilut.

Pembantu restoran, Nurin Alyana Nazirah Salbani berkata, penduduk di kampungnya sebelum ini sering berdepan masalah air kotor sehingga menjejaskan urusan memasak, minum dan mandi.

Nuryn Alya

“Selepas paip baharu dipasang, masalah air kotor tidak lagi berlaku dan bekalan kini jauh lebih baik,” katanya.

Seorang peniaga, Lim Hok Sing pula berkata, penduduk di Bilut menanggung masalah bekalan air hampir sedekad sebelum kerja penggantian paip dilaksanakan.

Hok Sing

“Dulu hampir 10 tahun kami hidup dengan gangguan bekalan air. Sekarang bekalan mencukupi dan tekanannya juga lebih baik,” katanya.

Air yang mengalir ke setiap rumah hari ini bukan sekadar memenuhi keperluan harian, malah menoktahkan episod penduduk Kampung Sungai Chalit dan sekitarnya yang bergantung kepada air sungai selama bertahun-tahun.

Bekalan air terawat yang lebih stabil kini memberi sinar baharu kepada kehidupan mereka dan meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.