PEKAN – Permainan gasing BeybladeX kini berkembang menjadi sukan kompetitif yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda termasuk penduduk di daerah ini.
Bagi jurulatih BeybladeX (Beytrainer) Kelab Gasing BeybladeX Peramu Jaya (Peraja), Mohd Azrul Syafuan Abd Razak, 35, perkembangan tersebut membuktikan permainan berasal dari Jepun terus berkembang sebagai aktiviti sukan eksklusif dalam kalangan peminatnya.
Selain remaja, golongan dewasa turut aktif menerusi kategori elit yang menyediakan ruang persaingan kepada peminat lebih berpengalaman.
Jelasnya, perkembangan komuniti BeybladeX di negeri ini dibantu pengiktirafannya sebagai sukan di sekolah menerusi Kelab Sukan Gasing Beyblade (KSGB), selain penganjuran pertandingan secara konsisten di peringkat sekolah, daerah dan negeri.
Menurut Mohd Azrul, penubuhan Peraja pada Jun tahun lalu seiring perkembangan sukan itu di Pahang khususnya di Pekan.
“Peraja mengambil langkah lebih tersusun dengan menyertai pertandingan BeybladeX peringkat permulaan (G3) di Pahang, sekali gus memperkenalkan nama kelab dalam komuniti sukan ini.
“Kelab ini terus memperkukuh organisasinya menerusi kemasukan rasmi Beytrainer Pekan, penubuhan jawatankuasa teknikal serta pemilihan dan pembentukan pasukan bagi menghadapi pertandingan lebih mencabar,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, melalui usaha itu, pemain kelab berpeluang melangkah lebih jauh menerusi penyertaan dalam kejohanan peringkat pertengahan (G2), kebangsaan sehingga ke pertandingan antarabangsa termasuk Kejohanan Merdeka Cup di beberapa negeri seperti Johor, Perak, Kedah, Terengganu selain di Kuala Lumpur.
“Pemain kelab ini mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya mendominasi kedudukan teratas kategori Bawah 12 Tahun (U12) kebangsaan, selari dengan moto rasmi kelab, ‘We Lead the Arena’.
“Antara paling membanggakan ialah kejayaan anak didik muncul juara kejohanan peringkat kebangsaan di Johor tahun lalu, selain meraih beberapa pencapaian dalam pertandingan peringkat negeri termasuk di Kedah, Selangor dan Pahang,” katanya.
Ujar Mohd Azrul, dalam Kejohanan Merdeka Cup, baru-baru ini, pemain Peraja berjaya meraih tempat keenam dan kesembilan daripada kira-kira 1,000 penyertaan di Kuala Lumpur, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 10 pemain terbaik negara.
“Sekolah Kebangsaan (SK) Peramu Jaya turut mencatat pencapaian tersendiri apabila berada dalam kedudukan pertama ranking sekolah bagi sukan BeybladeX di negara ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai permainan itu, Mohd Azrul berkata,permainan BeybladeX menggabungkan elemen strategi, kemahiran teknikal dan ketepatan yang memerlukan pemain memahami keupayaan setiap komponen sebelum memasuki gelanggang.
“Setiap gasing atau bey memiliki nama dan spesifikasi tersendiri seperti Shark Scale, Aero Pegasus dan Phoenix Wing, sekali gus memberikan pilihan kepada pemain untuk membentuk kombinasi mengikut strategi masing-masing.
“Dari aspek teknikal, BeybladeX generasi keempat terbahagi kepada tiga rangkaian utama iaitu Basic Line (BX), Unique Line (UX) dan Custom Line (CX) dengan setiap gasing mempunyai karakter tersendiri merangkumi kategori serangan, imbangan, stamina dan pertahanan,” katanya.
Jelasnya, gasing yang baik memiliki karakter dan fungsi komponen tersendiri yang sesuai dengan tahap kemahiran seseorang pemain.
“Pemain perlu memahami fungsi komponen seperti ‘ratchet’ dan ‘bit’ kerana setiap satunya mempunyai ciri teknikal yang mempengaruhi pergerakan serta prestasi gasing ketika perlawanan berlangsung.
“Permainan ini bukan sekadar melancarkan gasing dan menunggu siapa yang menang, tetapi pemain juga perlu tahu memilih komponen, membentuk kombinasi yang sesuai serta merancang strategi berdasarkan kekuatan dan kelemahan pihak lawan,” katanya.
Menurutnya lagi, teknik pelancaran juga penting, misalnya teknik ‘drop launch’ membantu menghasilkan putaran optimum mengikut karakter gasing yang digunakan.
Pada masa sama, katanya, pemain turut dituntut membuat keputusan segera khususnya ketika memilih kombinasi gasing bagi menghadapi format pertandingan individu atau berkumpulan.
Jelasnya, walaupun ada sesetengah set mencecah harga ribuan ringgit, permainan itu sebenarnya sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
“Harga gasing yang baik bermula sekitar RM50 dan ada unit tertentu mencecah ribuan ringgit.
“Saya sendiri memiliki Aero Pegasus yang pernah mencecah harga RM2,000 pada satu ketika, namun ia lebih kepada set keluaran khas yang menjadi koleksi peminat,” katanya.
Menurutnya, kos permulaan permainan itu masih terjangkau kerana peralatan berkenaan boleh digunakan berulang kali, selain mempunyai ketahanan yang baik jika dijaga dengan betul.
“Bagi saya, Beyblade bukan sekadar permainan, tetapi ia juga menguji mental dan fizikal seseorang pemain, selain mengajar mereka supaya lebih berdisiplin, fokus dan bijak membuat keputusan.
“Saya berharap lebih banyak kejohanan dapat dianjurkan secara konsisten dari peringkat sekolah, daerah dan negeri sehingga ke peringkat kebangsaan bagi melahirkan lebih ramai pemain, pengadil, penganjur serta komuniti yang berkualiti,” ujarnya.
Dia juga berharap permainan itu terus berkembang sebagai sukan kompetitif yang tersusun di negara ini, bukan sekadar permainan bermusim, sebaliknya menjadi wadah membina komuniti aktif dan positif untuk semua peringkat usia.