Inovasi dana zakat bantu lebih ramai asnaf ‘merdeka’

Iklan
Program AZAM membolehkan dana zakat dikitar semula bagi membantu lebih ramai usahawan asnaf membina kehidupan yang lebih mampan. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

SETIAP dana zakat yang disalurkan menerusi Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM) boleh dimanfaatkan berulang kali dan mampu menjana nilai sosial sebanyak enam kali ganda, sekali gus memperkukuh usaha memerdekakan golongan asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata, setiap RM1 yang disalurkan melalui AZAM menghasilkan pulangan RM6.10 nilai sosial, membuktikan pendekatan pembiayaan mikro berasaskan dana pusingan mampu memberi impak lebih besar kepada golongan asnaf.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dapatan tersebut berdasarkan kajian Social Return on Investment (SROI) yang dijalankan secara bebas oleh Social Value Malaysia bagi menilai keberkesanan program berkenaan serta nilai sosial yang dihasilkan kepada penerima.

“Setakat ini, Alliance Islamic Bank telah menyalurkan RM975,000 dalam dana zakat wakalah ke program AZAM sejak diperkenalkan pada 2023.

Iklan

“Daripada 201 peserta, seramai 27 peserta telah berjaya keluar daripada status asnaf fakir miskin. Selain itu, 55 peratus peserta melaporkan peningkatan kestabilan kewangan dalam perniagaan dan 71 peratus peserta melaporkan peningkatan keyakinan diri dalam perniagaan.

Program AZAM bermula sejak 2023, dibangunkan dengan pendekatan yang menggabungkan peranan Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesahkan kelayakan asnaf, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menguruskan penyaluran pembiayaan, kutipan pembayaran balik dan pelaksanaan latihan keusahawanan, manakala Alliance Islamic Bank membiayai pembiayaan tersebut menggunakan dana zakat wakalah Alliance Islamic Bank.

Iklan

Melalui AZAM, peserta menerima pembiayaan perniagaan sejumlah RM5,000 hingga RM10,000 dengan tempoh bayaran balik selama setahun tanpa caj keuntungan, disertai latihan dan bimbingan keusahawanan.

Dana yang dibayar balik oleh peserta akan disalurkan semula kepada usahawan asnaf yang lain dalam bentuk pembiayaan, membolehkan dana zakat dimanfaatkan secara berterusan.

Inovasi dalam pengagihan dana zakat tersebut dilaksanakan dengan kelulusan Majlis Fatwa Selangor yang turut termaktub dengan syarat-syarat ataupun SOP yang perlu dipenuhi.

Rizal IL-Ehzan. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Rizal IL-Ehzan menjelaskan, Program AZAM bukan bertujuan menggantikan bantuan zakat sedia ada kerana keperluan agihan zakat secara langsung dan konsumtif masih diperlukan. Katanya, AZAM menangani keperluan yang berbeza dan mekanisme pusingan dana menjadi pendekatan baru yang membezakan daripada bantuan zakat biasa.

“Model pembiayaan menggunakan dana zakat ini adalah kaedah terbaik untuk membantu golongan yang sukar mendapat modal perniagaan,” katanya.

Buka ruang kebersamaan Beliau menegaskan, program AZAM memerlukan lebih banyak dana agar dapat membantu lebih ramai usahawan mikro asnaf yang mempunyai potensi untuk membina perniagaan dan menjana pendapatan sendiri.

Sehubungan itu, Alliance Islamic Bank kini membuka ruang kebersamaan dalam masyarakat sama ada individu atau syarikat yang layak untuk menyalurkan zakat wakalah di Selangor, tertakluk kepada syarat dan ketetapan LZS.

“Sasaran kami ialah tambahan dana sebanyak RM3.5 juta menjelang Mac 2027, yang akan membolehkan kita memberi manfaat kepada sekitar 690 usahawan asnaf baru.

“Dengan dana ini, jumlah keseluruhan dana AZAM dijangka mencecah RM4.5 juta,” katanya.

Tambah Rizal IL-Ehzan, pada akhirnya, AZAM bukan sekadar tentang memperluaskan pembiayaan, tetapi juga menunjukkan kesan inovasi yang boleh menggerakkan konsep ekonomi Islam dalam bentuk yang nyata, iaitu

menghubungkan zakat, pembiayaan dan pembangunan keusahawanan untuk memperkasa komuniti dari akar umbi.

Ujarnya, melalui AZAM, Alliance Islamic Bank menghidupkan semula semangat kebersamaan, di mana masyarakat turut memainkan peranan dalam membantu usahawan asnaf membina pendapatan dan masa depan mereka sendiri.

“Inilah kekuatan kewangan sosial Islam, apabila sumber dan peluang digerakkan bersama untuk memperluaskan manfaat dan membawa perubahan yang berpanjangan.

“Tujuan kita juga untuk memastikan peserta yang ‘merdeka’ daripada kedudukan asnaf, akan menjadi penyumbang kepada dana zakat itu sendiri di kemudian hari,” katanya.