Mahsuri Dagang bantu 300 pelajar B40 UPM

Iklan
Shamsul (kiri) bersama Mohd Jazri (tiga dari kanan) di Dapur Siswa Madani, Blok Malinja, Kolej Canselor, UPM Serdang.

SERDANG – Seramai 300 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima sumbangan makanan asas menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hasil kerjasama Mahsuri Dagang Sdn Bhd dengan Majlis Perwakilan Pelajar universiti itu.

Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, Mahsuri Dagang menyumbangkan masing-masing 300 unit Kicap Pedas Manis Mahsuri dan Kicap Lemak Manis Mahsuri bagi membantu meringankan beban pelajar terbabit menerusi inisiatif itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

Jelasnya, semua produk syarikat dihasilkan di dalam negara dan mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Iklan

“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung pelajar,” katanya ketika ditemui di Dapur Siswa Madani, Blok Malinja, Kolej Canselor, UPM Serdang di sini pada Khamis.

Mohd Jazri (tiga dari kiri) menerima sijil penghargaan daripada Shamsul (tiga dari kanan).

Iklan

Sumbangan itu bertujuan menyokong operasi Dapur Siswa Madani, dapur komuniti yang diwujudkan menerusi Inisiatif Hidangan Asas Siswa Negara di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Selain menyediakan kemudahan untuk pelajar memasak sendiri, dapur itu turut digerakkan oleh sukarelawan mahasiswa yang menyediakan dan mengagihkan makanan percuma kepada rakan mereka daripada keluarga B40 serta golongan yang memerlukan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Profesor Dr Shamsul Bahri Mohd Tamrin berkata, inisiatif Dapur Siswa Madani diwujudkan khusus bagi membantu pelajar daripada keluarga B40.

Menurut Shamsul yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, inisiatif itu turut menyemai semangat kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan mahasiswa.

“Pihak universiti dan barisan pelajar amat bersyukur serta menghargai sumbangan Mahsuri Dagang ini yang merupakan kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) kali kedua antara kedua-dua pihak.

“Dapur Siswa Madani memerlukan bekalan makanan asas seperti kicap yang disumbangkan Mahsuri bagi menggalakkan pelajar menyediakan sendiri makanan yang sihat,” katanya.

Beliau berkata, UPM sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat korporat lain bagi menyokong operasi Dapur Siswa Madani.

Antara sumbangan yang diperlukan termasuk makanan asas seperti beras, minyak masak dan barangan tahan lama, selain daging segar, sayur-sayuran serta produk kebersihan diri.

Syarikat atau pihak yang berminat boleh menghubungi UPM menerusi e-mel bhep@upm.edu.my.