RM70 juta produk IKS tempatan tembusi pasaran Mydin setiap tahun

Iklan
Ameer Ali (kanan), Arwan (tengah) ketika Pelancaran Kempen Jom Malaysia: Ikon Lokal, di Mydin Subang, pada Khamis. Foto: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

PERUNTUKAN perolehan produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan bernilai kira-kira RM70 juta setahun mencerminkan kesungguhan rangkaian peruncit dan pemborong terbesar negara, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) dalam menyokong pembangunan usahawan tempatan.

Komitmen tersebut diterjemah melalui penyediaan peluang pasaran bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri kecil dan sederhana (IKS) serta usahawan orang kurang upaya (OKU).

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, akses pasaran merupakan antara faktor penting yang dapat membantu usahawan tempatan meningkatkan jualan dan membina keyakinan mereka untuk mengembangkan pengeluaran dan meneroka saluran pemasaran lain.

Penyerahan sijil penghargaan kepada16 usahawan daripada NS Choice dan Halal Kotej Go Global Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan yang mengambil bahagian dalam program tersebut menerusi karnival jualan selama lima hari hingga 25 Oktober ini di Mydin Subang. Foto: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Iklan

Beliau percaya, produk tempatan mempunyai kelebihan tersendiri kerana pengusahanya memahami cita rasa pengguna Malaysia, selain berpotensi menawarkan pilihan produk yang memenuhi keperluan pasaran setempat.

"Biasanya, produk IKS dan PKS memang sedap kerana dihasilkan secara tempatan. Banyak jenama multinasional pun kadangkala mengubah produk mereka mengikut cita rasa tempatan.

Iklan

"Banyak lagi produk IKS yang orang tidak tahu. Orang nampak kerepek sahaja di sini. Tetapi ada juga produk seperti sos tomato, sos cili, kicap dan kopi.

"Kalau dari segi peratusan, jumlah produk-produk IKS yang dipasarkan tidak banyak (berbanding keseluruhan produk di Mydin). Tetapi kalau kita melihat nilai barangan itu sahaja, RM70 juta bukanlah jumlah yang sedikit," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Jom Malaysia: Ikon Lokal, di sini, pada Khamis.

Ameer Ali ketika melawat reruai jualan sempena Kempen Jom Malaysia: Ikon Lokal berlangsung di Mydin Subang sehingga 25 Oktober ini. Foto: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pembangunan), Dr Arwan Sabri.

Kempen anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkenaan bertujuan memperluas peluang pemasaran produk tempatan kepada pengguna.

Seramai 16 usahawan daripada NS Choice dan Halal Kotej Go Global Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan turut mengambil bahagian menerusi karnival jualan selama lima hari hingga 25 Oktober ini di Mydin Subang, bagi mengetengahkan produk tempatan dan keunikan Negeri Sembilan kepada pengguna.

Program tersebut turut melibatkan Selangor Youth Community bagi memperluas penyertaan tujuh perniagaan golongan OKU dalam bidang keusahawanan dan ekonomi.

Pada majlis sama, Mydin turut menyumbang baucar tunai RM500 kepada setiap usahawan OKU tersebut.

Ameer Ali berkata, kerjasama tersebut diharap dapat meningkatkan pendedahan terhadap produk usahawan tempatan serta membuka peluang perniagaan yang lebih luas melalui kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti usahawan.

Mengulas peluang kepada usahawan baharu, beliau berkata, Mydin memberi ruang kepada mereka untuk membekalkan produk mengikut kemampuan pengeluaran masing-masing sebelum meningkatkan jumlah bekalan secara berperingkat.

Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi membina keyakinan usahawan bahawa produk mereka mempunyai pasaran, sekali gus mendorong mereka mengembangkan perniagaan ke saluran jualan lain.

"Kalau mereka mampu membekalkan RM500, kita ambil RM500 dahulu. Kita tidak mahu menekan mereka.

"Kita mahu mereka mendapat keyakinan bahawa ada pihak yang sanggup membeli produk mereka dan produk itu mempunyai kualiti yang baik.

"Apabila mereka sudah berjaya memasuki Mydin, mereka boleh menggunakan pengalaman itu untuk menembusi pasaran lain," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan kerajaan agar memperluas penyertaan produk PKS dan IKS tempatan dalam program Jualan Rahmah serta menjadikan produk jenama tempatan sebagai pilihan utama dalam kotak bantuan banjir yang dibiayai kerajaan.

Sementara itu, Arwan berkata, kerjasama Mydin bagi penyertaan usahawan dalam program tersebut memberi peluang golongan itu mempromosikan produk mereka kepada pengguna di Selangor, selain membuka ruang untuk menembusi pasaran lebih luas termasuk peringkat antarabangsa.

Katanya, usahawan terpilih juga mempunyai pengiktirafan menerusi logo NS Choice serta pensijilan halal yang membantu meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk keluaran mereka.

"Kita berharap kerjasama dengan pihak Mydin dan peluang yang diberikan ini dapat membantu memperkukuh sektor peruncitan serta mengembangkan pasaran produk Negeri Sembilan pada masa hadapan,” katanya.