Perhilitan terima enam aduan gangguan gajah di Perlop 1

Iklan
Gangguan gajah liar di Kampung Perlop 1, Sungai Siput menjejaskan kira-kira 80 hektar kebun sawit yang diusahakan 18 pekebun, sekali gus memberi kesan kepada sumber pendapatan utama mereka.

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menerima enam aduan berkaitan gangguan gajah di Kampung Perlop 1, Sungai Siput sepanjang tahun ini.

Pengarah Perhilitan Perak, Dr Pazil Abdul Patah berkata, pihaknya telah menghantar kakitangan ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemantauan dan kawalan susulan aduan yang diterima.

Iklan
Iklan

Menurutnya, buat masa ini, penduduk dan pekebun dinasihatkan supaya tidak menghampiri, mengganggu atau cuba menghalau gajah secara bersendirian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Mereka juga diminta mengelakkan aktiviti di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran gajah, terutama pada waktu berisiko.

Iklan

"Sebarang tanda kehadiran gajah atau kejadian kerosakan baharu perlu dimaklumkan segera kepada pihak Perhilitan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan, sekumpulan pekebun di Kampung Perlop 1 berdepan kerugian puluhan ribu ringgit apabila kebun sawit mereka dimusnahkan kawanan gajah liar sejak dua bulan lalu.

Iklan

Gangguan itu menjejaskan kira-kira 80 hektar kebun sawit yang diusahakan 18 pekebun, sekali gus memberi kesan kepada sumber pendapatan utama mereka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pekebun yang mengalami kerosakan tanaman dan harta benda akibat gangguan gajah berkenaan boleh mengemukakan permohonan Bantuan Kerosakan Tanaman dan Harta Benda (BKHT).

"Mana-mana pekebun terjejas, kita minta supaya mereka segera menghubungi Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai permohonan bantuan berkenaa," katanya.