IPOH – Dua anak kepada suri rumah Orang Kurang Upaya (OKU) yang ditemukan maut ditikam di Kampung Cheh Hilir, Kati, Kuala Kangsar pada 23 September lalu masih ditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, penempatan kedua-dua kanak-kanak itu dibuat susulan keadaan mereka yang dikenal pasti belum selamat untuk kembali ke pangkuan keluarga.
Menurutnya, penempatan berkenaan dibuat berdasarkan perintah perlindungan mahkamah sementara menunggu penilaian pegawai pelindung JKM bagi menentukan pihak yang layak dan sesuai untuk mengambil tanggungjawab menjaga mereka.
“Sekiranya ada ahli keluarga yang tampil untuk mengambil mereka, kita akan membuat penilaian terlebih dahulu bagi menentukan sama ada individu berkenaan layak dan sesuai untuk menjaga kanak-kanak itu,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Wonderful Life Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga JKM Perak Tahun 2026 di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Salbiah berkata, penempatan sementara itu tidak semestinya berterusan hingga kanak-kanak berkenaan mencapai usia 18 tahun kerana ia bergantung kepada hasil siasatan dan penilaian pegawai pelindung.
Pada 23 September lalu media melaporkan seorang suri rumah OKU, Nor Ainon Omar, 49, ditemukan maut dengan kesan kecederaan dipercayai akibat tikaman di kediamannya di Kampung Cheh Hilir, Kati, Kuala Kangsar.
Mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di rumah kampung yang didiaminya bersama suami dan tiga anak.
Dalam perkembangan lain, Salbiah berkata, Perak masih belum mempunyai pusat perlindungan khusus bagi mangsa keganasan rumah tangga namun pihaknya mempunyai beberapa alternatif untuk membantu mereka mendapatkan tempat selamat.
Katanya, mangsa boleh dirujuk kepada JKM untuk mendapatkan bantuan termasuk penempatan sementara di institusi berkaitan atau melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan kes keganasan rumah tangga.
“Sekiranya ahli keluarga tidak dapat mengambil mangsa, kita akan membantu menempatkan mereka di tempat selamat yang bersesuaian,” katanya.
Beliau turut mengakui kes keganasan rumah tangga di Perak mencatatkan peningkatan namun keadaan itu mungkin turut dipengaruhi peningkatan kesedaran mangsa untuk tampil membuat laporan.
Sehubungan itu, katanya, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keganasan rumah tangga perlu dipergiatkan bagi membantu mangsa memahami hak mereka serta mendapatkan perlindungan sewajarnya.
Program Wonderful Life turut menyediakan perkongsian daripada wakil polis, NGO dan mangsa keganasan rumah tangga, selain pelancaran kod QR bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan tindakan yang boleh diambil serta saluran bantuan tersedia.