Petani setuju guna kaedah EM atasi masalah lalat

Iklan
Penolong Pegawai Pertanian Daerah Kinta dan Kampar, Wildan Firdaus Badaruddin menunjukkan peta lot pertanian yang terlibat di sekitar Kampung Redang Sawa dan Kampung Changkat Tualang.

KAMPAR - Kumpulan petani yang terlibat dalam perusahaan tanaman kontan di Kampung Redang Sawa dan Kampung Changkat Tualang, Malim Nawar bersetuju menggunakan kaedah Mikrob Efektif (EM) bagi mengatasi masalah gangguan lalat di kawasan berkenaan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, kaedah itu dipilih selepas perbincangan bersama petani terbabit dalam sesi taklimat Amalan Pertanian Baik (Elemen Baja Organik) di Pusat Khidmat ADUN Tualang Sekah di sini pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penggunaan EM akan mempercepatkan proses pereputan dan fermentasi tahi ayam bagi mengurangkan risiko lalat membiak di kawasan pertanian.

"Petani akan diberi latihan mengenai kaedah penggunaan EM pada Jumaat ini, termasuk cara memproses tahi ayam sebelum digunakan sebagai baja.

Iklan

"Proses berkenaan mengambil masa kira-kira seminggu untuk disiapkan sebelum petani boleh menggunakannya di kebun masing-masing.

"Sekiranya semua proses berjalan seperti dirancang, populasi lalat dapat dikurangkan ke tahap minimum menjelang pertengahan November ini," katanya.

Iklan

Taklimat disampaikan Penolong Pegawai Pertanian Daerah Kinta dan Kampar, Wildan Firdaus Badaruddin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penduduk Kampung Redang Sawa dan Kampung Changkat Tualang berdepan gangguan lalat yang menjejaskan rutin harian, kebersihan makanan serta keselesaan di kediaman masing-masing.

Masalah yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu itu disyaki berpunca daripada penggunaan baja tinja di hampir 10 lot kebun tanaman kontan antaranya jagung dan ubi keledek yang terdapat di sekeliling kawasan penempatan berkenaan.

Mohd Azlan berkata, penggunaan tahi ayam yang tidak diproses dengan sempurna dikenal pasti sebagai antara faktor menyebabkan pembiakan lalat di kawasan pertanian terbabit.

Menurutnya, hasil semakan mendapati sebahagian petani memilih tahi ayam mentah kerana harganya lebih murah berbanding baja tahi ayam yang telah diproses.

"Jabatan Pertanian akan memantau langkah yang dilaksanakan ini, sebelum dan selepas penggunaan EM bagi melihat perubahan populasi lalat di kawasan terbabit.

"Sebagai contoh, jika pada peringkat awal terdapat 30 ekor lalat yang melekat dalam tempoh lima minit, kita berharap jumlah itu dapat dikurangkan kepada lima ekor atau kurang selepas kaedah ini dilaksanakan," katanya.