TANJUNG MALIM – Perak mengaktifkan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) bagi memantau perkembangan dan menyelaras tindakan agensi berkaitan susulan kejadian ribut dan banjir yang melanda daerah Larut, Matang dan Selama serta Manjung.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pusat kawalan itu mula diaktifkan jam 9 pagi pada Ahad bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan.
Menurutnya, operasi SDCC akan dilaksanakan selama 24 jam sekiranya bencana melibatkan lebih tiga daerah.
“Berdasarkan laporan setakat jam 8 pagi pada Isnin, jumlah mangsa yang masih berada di PPS (pusat pemindahan sementara) di Larut, Matang dan Selama menurun kepada 156 orang daripada 50 keluarga berbanding 482 orang daripada 174 keluarga pada Ahad.
“Jumlah PPS yang beroperasi juga berkurangan daripada lima kepada dua buah,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Ketujuh Tahun 2026 di Dewan Seri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini pada Isnin.
Saarani berkata, di Manjung pula, tujuh daripada sembilan kawasan yang dilanda banjir kilat dilaporkan telah surut manakala keadaan di dua kawasan lagi masih dipantau agensi berkaitan.
Menurutnya, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) turut memperkukuh kesiapsiagaan bagi menghadapi risiko bencana susulan keadaan cuaca tidak menentu dan menjelang musim tengkujuh.
Katanya, seramai 6,283 anggota daripada pelbagai agensi diselaraskan bersama aset penyelamat termasuk 204 bot dan 439 kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan bantuan dapat digerakkan segera apabila diperlukan.
“Sejak bencana melanda, pegawai pejabat daerah serta pegawai khas Menteri Besar di kawasan terlibat telah berada di lapangan bagi memantau keadaan dan membantu menyelaraskan keperluan penduduk.
“Saya menzahirkan rasa simpati kepada semua keluarga yang terjejas dan mahu keselamatan serta kebajikan mangsa terus diberikan keutamaan, termasuk memastikan bekalan makanan, tempat perlindungan dan keperluan kesihatan mendapat perhatian sewajarnya, khususnya bagi golongan rentan,” katanya.
Beliau turut mengarahkan semua agensi berkaitan supaya sentiasa bersiap siaga dan meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko.
Penduduk juga dinasihatkan supaya berwaspada terhadap perubahan cuaca, mengambil langkah keselamatan lebih awal serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya keadaan memerlukan.
Tamat