Enam kes buli libat pelajar direkodkan di Kelantan

Iklan
Mohd Yusoff (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai yang cemerlang dalam tugas.

KOTA BHARU – Enam kes buli direkodkan di Kelantan tahun ini bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mereka membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah berusia antara tujuh hingga 18 tahun.

Iklan
Iklan

“Daripada jumlah enam itu, satu kes sudah dituduh di mahkamah, tiga masih dalam siasatan manakala dua lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini pada Selasa.

Beliau berkata, isu buli dan keganasan dalam kalangan pelajar perlu diberikan perhatian serius susulan 5,681 kes buli dilaporkan di sekolah seluruh negara bagi tempoh sama.

Iklan

Menurutnya, kematian Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril di Negeri Sembilan dan Allahyarham Irene Sofiya di Johor menjadi peringatan bahawa keganasan dalam kalangan golongan muda tidak boleh dipandang ringan.

“Kita perlu mengambil iktibar dan memperkukuh usaha pencegahan agar tragedi seumpama ini tidak berulang,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, ujar beliau, semua Ketua Polis Daerah dan pegawai perhubungan sekolah perlu mempererat kerjasama dengan pihak sekolah, ibu bapa serta komuniti bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara.

“Setiap aduan perlu diberikan perhatian dan setiap tindakan mesti dilaksanakan secara profesional. Jangan tunggu tragedi berlaku untuk kita bertindak.

“Pastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat untuk anak-anak menimba ilmu, membina impian dan membesar tanpa ketakutan,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha melindungi generasi muda perlu diperkukuh bagi memastikan pelajar dapat menuntut ilmu dalam persekitaran yang selamat.