TUMPAT - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan sedang meneliti urusan penjagaan jangka panjang dua anak perempuan Allahyarham Norhazwani Ibrahim, pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang dipercayai dibunuh suaminya di Nilai, Negeri Sembilan, 15 Oktober lepas.
Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, kedua-dua kanak-kanak berusia lima dan enam tahun itu, berpotensi diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka daripada keluarga sebelah arwah, berdasarkan hasil tinjauan menerusi program Siri Ziarah Kasih JKM Kelantan.
Beliau berkata, cadangan itu mengambil kira kesepakatan ahli keluarga, yang bersetuju dengan penempatan berkenaan, selain kesediaan abang sulung Allahyarham untuk membantu memenuhi keperluan kedua-dua beradik itu.
"JKM akan membawa perkara itu ke mesyuarat bagi menilai pihak yang paling layak dan sesuai, sebelum urusan penjagaan dikemukakan kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah sewajarnya,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke rumah keluarga arwah di Kampung Telaga Lanas, dekat Pengkalan Kubor di sini pada Isnin.
Che Samsuzuki berkata, JKM Kelantan turut menyalurkan bantuan segera RM300 menerusi JKM Tumpat, serta menyumbangkan barangan keperluan asas dan peralatan kanak-kanak bagi meringankan beban keluarga.
Pasukan kaunselor jabatan itu juga menyediakan sokongan psikososial dan akan terus memantau keadaan keluarga, bagi memastikan keperluan emosi serta kebajikan kanak-kanak terbabit terpelihara.
Beliau berkata, kedua-duanya, turut akan dinilai bagi kelayakan menerima bantuan anak pelihara sebanyak RM250 sebulan seorang, selepas urusan penjagaan mendapat perintah mahkamah.
Pada Khamis lepas, Norhazwani ditemukan maut selepas disyaki ditikam suaminya di Nilai, dipercayai akibat perselisihan faham.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian pada 9.30 malam, selepas suami mangsa berusia dalam lingkungan 30-an menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor memaklumkan kematian itu.
Lelaki itu kini direman hingga 22 Oktober, bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam maut dipercayai dibunuh suami
Polis sahkan pegawai AKPS maut dipercayai dibunuh suami
Pegawai kerajaan mati dipercayai dibunuh suami dalam proses cerai - Abang mangsa
Perselisihan rumah tangga dipercayai punca pegawai AKPS maut ditikam suami - Polis
Pegawai AKPS maut: Suami serah diri ke balai polis selepas tikam isteri, pisau dirampas
Pegawai AKPS maut: Suspek sempat telefon abang ipar beritahu isterinya sudah tiada