TANAH MERAH – Kawasan tanaman sireh serta penempatan etnik Rohingya yang dipercayai beroperasi selama kira-kira dua tahun dengan kadar sewaan RM2,000 setahun di atas tanah pertanian di Kampung Padang Guchil, di sini telah disita pada Khamis.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, siasatan mendapati tanah milik persendirian itu membabitkan tiga lot iaitu Lot 367, 368 dan 369 di Mukim Tanah Merah yang syarat nyata kegunaannya ditetapkan untuk tanaman getah dan dusun.
Menurut beliau, pemeriksaan awal Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah (PTJTM) pada Selasa lalu mendapati terdapat struktur binaan serta aktiviti penempatan yang digunakan sebagai kediaman dan kawasan tanaman sireh di atas tanah berkenaan.
"Pada hari sama, pasukan penguat kuasa PTJTM turun ke lokasi kira-kira jam 2 petang bagi menjalankan siasatan susulan maklumat yang diterima berhubung isu tular di media sosial.
"Hasil pemeriksaan mendapati empat warga Rohingya berada di lokasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujar beliau, daripada jumlah itu, seorang memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala tiga lagi tidak mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dijalankan.
Jelasnya, hasil temu bual mendapati mereka menyewa premis berkenaan daripada seorang individu yang identitinya masih belum dapat dikenal pasti, pada kadar RM2,000 setahun.
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh semasa siasatan, aktiviti pendudukan warga Rohingya di kawasan itu dipercayai telah berlangsung selama kira-kira dua tahun," katanya.
Menurut Hilmi, hasil siasatan awal PTJTM kemudian dimaklumkan kepada Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa pihak berkenaan.
Kata beliau, pasukan MDTM membabitkan Bahagian Perancang dan Bahagian Penguat Kuasa turut menjalankan lawatan ke lokasi bagi tujuan pemeriksaan serta tindakan susulan.
Tambahnya, hasil pemeriksaan itu menyaksikan beberapa notis dikeluarkan berhubung kesalahan berkaitan pembinaan tanpa kebenaran dan ketiadaan permit kerja tanah.