Jangan runtuhkan RUU Kesalahan Syariah 2026 – Timbalan Menteri Besar Kelantan

Iklan
Dr Mohamed Fadzli FOTO - ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak cuba meruntuhkan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan itu terbuka menerima pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak bagi memperkemas peruntukan undang-undang berkenaan secara berperingkat.

Iklan
Iklan

“Kami memahami keprihatinan pelbagai pihak terhadap usaha memperkukuh perundangan syariah negeri dan mengalu-alukan teguran yang boleh membantu menambah baik RUU berkenaan.

“Berikan teguran, jangan runtuhkan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Iklan

Peserta yang hadir pada persidangan di Kota Bharu pada Isnin. FOTO - ADILA SHARINNI WAHID

RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 12 Ogos lalu.

Iklan

RUU itu menggantikan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan pada 2024.

Beliau berkata, pandangan yang dikemukakan boleh dibincangkan bersama pengamal undang-undang syariah dan sivil, ahli akademik serta hakim bagi meneliti ruang penambahbaikan yang bersesuaian.

“Usaha menggubal undang-undang bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan penelitian teliti.

“Justeru sebarang kelemahan perlu dikenal pasti dan diperbaiki tanpa perlu meruntuhkan keseluruhan kerangka yang dibina,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, usaha memperkukuh dan melaksanakan undang-undang syariah juga perlu mengambil kira pembahagian bidang kuasa antara kerajaan negeri dengan Persekutuan seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

Katanya, kuasa negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan hal ehwal Islam tertakluk kepada batas Perlembagaan dan setiap peruntukan perlu diteliti supaya mempunyai asas perundangan yang jelas dan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Pengukuhan undang-undang syariah tidak hanya bergantung pada penggubalan peruntukan, tetapi turut memerlukan institusi berkaitan diperkasa dengan kepakaran dan keupayaan untuk melaksanakan undang-undang secara profesional serta adil,” katanya.