INDUSTRI halal yang semakin berkembang setiap tahun memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, bukan sahaja dalam aspek pematuhan pensijilan, malah keupayaan dalam memahami perniagaan, menguasai aspek teknikal dan membina jaringan pada peringkat antarabangsa.
Menyedari keperluan itu, Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2026 (PEH26) terus menjadi platform memperkaya pengetahuan serta pengalaman bakat halal, khususnya eksekutif halal yang memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan standard halal.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, penganjuran PEH26 yang memasuki tahun kelima merupakan pencapaian penting buat pihaknya dan UNITI Halal Centre (Uhac) dalam usaha membangunkan ekosistem pembelajaran halal yang lebih menyeluruh.
Menurutnya, persidangan itu kini menjadi antara program yang dinanti-nantikan eksekutif halal dan pemain industri, sekali gus membuktikan keperluan terhadap platform perkongsian ilmu serta jaringan profesional yang berterusan.
“Bagi kami, ini satu pencapaian apabila dapat melaksanakan PEH selama lima tahun berturut-turut. Kita melihat program ini sudah menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh bakat halal khususnya eksekutif halal dan pemain industri.
Jelasnya, penyertaan institusi perbankan seperti Agrobank sebagai penaja dan Maybank sebagai rakan strategik turut memperluas dimensi perbincangan, khususnya berkaitan pembiayaan dan keperluan perniagaan dalam ekosistem halal.
“Pendekatan itu penting bagi membantu eksekutif halal memahami bahawa pembangunan industri tidak hanya bergantung pada aspek pensijilan, sebaliknya turut memerlukan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.
Pendedahan cabaran halal antarabangsa
Antara kelainan PEH26 termasuk penglibatan penceramah antarabangsa dan tempatan yang akan berkongsi pengalaman berkaitan badan pensijilan halal dari Afrika Selatan dan Jepun serta cabarannya di negara bukan Islam itu.
Menurutnya, pemilihan penceramah dari negara itu memberi perspektif berbeza kepada peserta kerana Afrika Selatan dan Jepun mempunyai persekitaran dan cabaran pelaksanaan halal yang tidak sama dengan Malaysia.
Menurut Amir Hamzah, industri halal merupakan perniagaan global yang membuka peluang luas kepada tenaga kerja tempatan untuk mengembangkan kerjaya di luar negara.
“Pendedahan seperti ini boleh membuka minda mereka bahawa bakat halal Malaysia juga berpotensi dieksport ke luar negara,” katanya.
Fahami perniagaan dan syariah
Selain aspek teknikal dan global, PEH26 turut menekankan pembentukan jati diri serta penghayatan agama dalam kalangan eksekutif halal.
Menurutnya, tugas eksekutif halal tidak seharusnya dilihat sekadar pekerjaan untuk memperoleh pendapatan, sebaliknya perlu difahami sebagai amanah dan ibadah yang menuntut komitmen terhadap prinsip syariah.
Justeru, pengisian persidangan dibahagikan kepada beberapa segmen, termasuk pengukuhan rohani, aspek teknikal seperti bahan bantuan pemprosesan (processing aid), peluang kerjaya antarabangsa serta hubungan antara halal dengan perniagaan.
Dalam usaha memberikan pengalaman pembelajaran lebih menyeluruh, PEH26 turut menggabungkan program halal edutourism pada hari ketiga dengan lawatan ke beberapa lokasi di Shah Alam.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan peserta melihat sendiri pelaksanaan amalan halal dalam operasi sebenar, sekali gus menghubungkan teori yang dipelajari dengan realiti di lapangan.
Rujukan ilmu berkaitan industri
Beliau berkata, sejak mula menawarkan kurikulum halal pada 2013, Kolej UNITI dan Uhac melihat tanggungjawab mereka semakin berkembang seiring dengan keperluan industri yang semakin kompleks.
Selain program latihan dan persidangan, pihaknya turut menyediakan kandungan perkongsian ilmu menerusi podcast Beyond Halal yang boleh ditonton secara percuma di YouTube dan platform audio Spotify, selain meneroka program edutourism dalam dan luar negara.
PEH26 menyasarkan penyertaan kira-kira 300 peserta daripada kalangan pemain industri, agensi, institusi pengajian dan pelajar.
Menurut Amir Hamzah, penyertaan turut dialu-alukan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta orang awam yang berminat memahami perkembangan industri halal.
Pemain industri halal dan orang ramai dijemput untuk menyertai PEH26 yang akan diadakan di Bangi Avenue Convention Centre pada 27 dan 28 Oktober 2026. Maklumat lanjut mengenai PEH26 sila dilayari di https://unitihalalcentre.com/.