KETIKA asap kebakaran dari negara jiran terus ‘rakus mencuri’ kecerahan langit Malaysia, kesannya bukan sekadar mata pedih dan tekak perit sebaliknya persekolahan turut terganggu.
Lebih teruk, Malaysia juga berisiko menanggung kerugian ekonomi antara RM20 juta hingga RM50 juta sehari dengan jumlahnya boleh mencecah RM1.5 bilion sekiranya krisis jerebu rentas sempadan itu berlarutan selama sebulan, menurut Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Profesor Dr Yeah Kim Leng.
Nilai tersebut bersamaan kos pembinaan kira-kira 15 buah sekolah baharu berdasarkan anggaran RM100 juta bagi sebuah sekolah, sekali gus memberikan gambaran tentang besarnya kerugian yang boleh ditanggung negara akibat pencemaran udara.
Angka itu bukan sekadar gambaran di atas kertas kerana jerebu juga boleh mengganggu kegiatan perniagaan, mengurangkan produktiviti pekerja, meningkatkan kos kesihatan dan menjejaskan pendapatan sektor ekonomi tertentu.
Kesan jerebu bagaimanapun tidak terhenti pada kegiatan ekonomi kerana pencemaran udara turut meningkatkan risiko penyakit pernafasan dan kardiovaskular, selain menyebabkan rakyat menanggung kos rawatan, kehilangan pendapatan serta terpaksa mengambil cuti sakit.
Pakar perubatan kesihatan awam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Hafiz Jaafar dilaporkan berkata, kajian di Selangor merekodkan tambahan kos RM14.6 juta akibat peningkatan kunjungan ke hospital dan klinik sepanjang 2012 hingga 2015.
Pada peringkat nasional, anggaran kos penyakit berkaitan jerebu meningkat daripada RM21 juta pada 1997 kepada RM410 juta pada 2013, tidak termasuk sepenuhnya kesan kardiovaskular dan kehilangan produktiviti.
Ini menunjukkan beban jerebu bukan sahaja ditanggung sistem kesihatan, malah turut melibatkan majikan dan keluarga apabila pekerja terpaksa mengambil cuti sakit, kehilangan pendapatan atau mengeluarkan wang untuk mendapatkan rawatan.
Pakar ekonomi Universiti Pengurusan dan Sains (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai pula berkata, Malaysia pernah mengalami kerugian RM801.9 juta ketika jerebu antara Ogos hingga Oktober 1997.
Kerugian itu merangkumi kehilangan produktiviti ketika darurat di Sarawak serta kemerosotan ketibaan pelancong, dengan jumlah berkenaan bersamaan kira-kira RM1.47 bilion berdasarkan nilai pada 2025 selepas pelarasan inflasi.
Di sebalik kerugian berbilion ringgit itu, punca krisis terus berulang apabila kebakaran hutan dan tanah di Indonesia termasuk kawasan gambut di Kalimantan dan Sumatera menghasilkan asap yang merentasi sempadan serta menjejaskan kualiti udara negara jiran.
Di Malaysia, penutupan sekolah di beberapa negeri susulan kemerosotan kualiti udara memperlihatkan kesan langsung krisis berkenaan terhadap pendidikan dan rutin keluarga.
Perubahan arah angin mungkin membantu mengurangkan jerebu, namun kelegaan itu boleh bersifat sementara selagi kebakaran masih berlaku.
Malaysia juga perlu mendesak Indonesia memperketat penguatkuasaan terhadap pihak yang melakukan pembakaran hutan dan tanah serta meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko tinggi bagi mencegah kebakaran berulang.
Selagi pembakaran hutan dan tanah gagal dihentikan, Malaysia akan terus menanggung kesan terhadap kesihatan rakyat, pendidikan dan ekonomi. Langit yang kembali cerah hanya kelegaan sementara jika punca sebenar jerebu masih tidak ditangani.