Satu klik, akaun media sosial digodam

Iklan
Ancaman penggodaman akaun media sosial membimbangkan apabila pengguna berdepan risiko kehilangan akses, kecurian identiti serta salah guna akaun untuk kegiatan penipuan dalam talian. Foto hiasan

KEMUDAHAN berkomunikasi, berkongsi maklumat dan menjalankan urusan harian melalui media sosial menjadikan platform digital sebahagian daripada keperluan masyarakat masa kini.

Namun, di sebalik kemudahan itu, ancaman penggodaman akaun media sosial membimbangkan apabila pengguna berdepan risiko kehilangan akses, kecurian identiti serta salah guna akaun untuk kegiatan penipuan dalam talian.

Iklan
Iklan

Situasi menjadi lebih serius apabila akaun yang berjaya diceroboh bukan sahaja melibatkan individu biasa, malah turut membabitkan akaun perniagaan, organisasi dan individu berpengaruh yang mempunyai ramai pengikut.

Lebih membimbangkan, penjenayah siber kini menggunakan pelbagai taktik termasuk pautan palsu, tawaran hadiah serta mesej mencurigakan bagi memperdaya pengguna menyerahkan maklumat log masuk mereka.

Iklan

Dalam kebanyakan keadaan, penggodaman tidak semestinya berlaku melalui serangan teknikal yang rumit, sebaliknya berpunca daripada kecuaian pengguna sendiri yang mudah mempercayai pautan atau arahan diterima tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu.

Antara modus operandi yang sering digunakan ialah teknik phishing, akaun yang berjaya diceroboh berpotensi digunakan untuk menyamar sebagai pemilik sebenar bagi meminta wang daripada rakan, ahli keluarga dengan pelbagai alasan kecemasan.

Iklan

Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa bukan sahaja kehilangan akaun, malah terpaksa berdepan kerosakan reputasi apabila akaun mereka digunakan untuk menyebarkan pautan penipuan atau kandungan tidak bermoral.

Data CyberSecurity Malaysia menunjukkan sebanyak 2,715 insiden keselamatan siber dilaporkan kepada Pusat Respons Cyber999 pada suku kedua 2026, meningkat 24.09 peratus berbanding 2,188 insiden pada suku pertama tahun sama.

Daripada jumlah itu, insiden penipuan mencatatkan angka tertinggi iaitu 2,314 kes, diikuti kebocoran data sebanyak 175 kes dan cubaan pencerobohan sebanyak 91 kes.

Perkembangan itu menunjukkan ancaman siber perlu dipandang serius kerana penjenayah sentiasa mencari kelemahan pengguna dan memperbaharui taktik untuk mendapatkan akses kepada maklumat peribadi.

Malah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 4 November lalu turut mengeluarkan notis keselamatan berhubung peningkatan risiko penipuan menggunakan fail ZIP, lampiran dan pautan mencurigakan menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut MCMC, fail berkenaan berkemungkinan mengandungi perisian hasad yang boleh menyebabkan peranti dijangkiti, maklumat peribadi bocor serta akaun diambil alih pihak tidak bertanggungjawab.

Justeru, pengguna perlu memahami keselamatan akaun bukan hanya bergantung penyedia platform, sebaliknya turut memerlukan disiplin dan kesedaran individu.

Antara langkah paling penting ialah mengaktifkan ciri pengesahan dua faktor (two-factor authentication) atau 2FA bagi menambah lapisan perlindungan selain penggunaan kata laluan.

Ciri itu memerlukan pengesahan tambahan ketika pengguna cuba mengakses akaun melalui peranti atau lokasi baharu, sekali gus menyukarkan penjenayah mengambil alih akaun walaupun mengetahui kata laluan.

Pengguna juga disaran menggunakan kata laluan yang kukuh, unik dan berbeza bagi setiap platform.

Selain itu, jangan berkongsi kod pengesahan, PIN keselamatan atau kata laluan dengan mana-mana individu, termasuk pihak yang mendakwa mewakili platform media sosial atau institusi kewangan.

Pengguna perlu menyemak pautan sebelum menekan sebarang pautan diterima, mengelakkan pemasangan aplikasi daripada sumber tidak rasmi dan memastikan sistem operasi serta aplikasi sentiasa dikemas kini.

Semakan berkala terhadap senarai peranti yang mempunyai akses kepada akaun juga penting bagi mengesan aktiviti log masuk mencurigakan dan menamatkan sesi yang tidak dikenali.

Sekiranya akaun berjaya diceroboh, pemilik perlu segera menggunakan saluran pemulihan rasmi platform berkenaan, menukar kata laluan. Laporan kepada pihak berkuasa juga perlu dibuat sekiranya berlaku penipuan atau penyalahgunaan identiti.

Hakikatnya, keselamatan di alam maya bukan perkara yang boleh dipandang ringan atau hanya diberikan perhatian selepas menjadi mangsa.

*Ahmad Ismadi Ismail ialah wartawan Sinar Harian