PELAKSANAAN ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) secara serentak di seluruh negara pastinya mencetuskan keterujaan dan rasa ingin tahu dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ujian yang dijadualkan berlangsung dari jam 10.10 hingga 10.30 pagi Ahad menarik perhatian kerana buat pertama kalinya orang ramai berpeluang melihat bagaimana sistem amaran kecemasan nasional disampaikan terus ke telefon bimbit.
Persoalan yang bermain di fikiran ramai tentunya bagaimana bunyi amaran itu, paparannya pada skrin telefon dan sejauh mana pantas notifikasi tersebut diterima.
Dalam masa sama, menjadi pertanyaan bagaimana penerimaan rakyat dan apakah respons mereka selepas ujian ini dijalankan?
Untuk memahami kepentingan inisiatif ini, MySiren merupakan Sistem Amaran Awal (EWS) Malaysia yang dibangunkan bagi memberi amaran kepada orang ramai ketika berlaku kecemasan supaya mereka dapat mengambil tindakan segera untuk melindungi nyawa dan harta benda.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), amaran boleh dikeluarkan bagi ancaman serius terhadap nyawa, kesihatan, keselamatan atau harta benda.
Ini termasuk cuaca buruk, banjir, tsunami, kebakaran besar, insiden bahan berbahaya serta ancaman keselamatan awam.
Skop penggunaannya yang luas menunjukkan bahawa MySiren bukan sekadar sistem pemberitahuan bencana alam, sebaliknya sebahagian daripada pendekatan lebih menyeluruh dalam pengurusan kecemasan negara.
Dari sudut teknologi, perkara paling menarik ialah bagaimana sistem ini mampu menyalurkan amaran terus ke telefon bimbit pengguna dalam kawasan yang dikenal pasti.
Ini bermakna masyarakat tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada hebahan televisyen, radio atau media sosial untuk mengetahui sesuatu ancaman.
Keupayaan menyampaikan maklumat secara langsung inilah yang menjadikan MySiren satu teknologi yang menarik untuk diperhatikan, khususnya apabila ia melibatkan penyampaian maklumat kritikal dalam situasi yang memerlukan tindakan pantas.
Dalam sesetengah keadaan, masyarakat mungkin tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan atau menyelamatkan diri.
Oleh itu, sistem amaran awal yang boleh menyampaikan maklumat secara pantas merupakan satu keperluan yang semakin penting.
Ini kerana, realitinya bukan semua rakyat mempunyai pengetahuan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal sesuatu bencana.
Ada yang tidak menyedari peningkatan paras air sungai, tidak mengetahui kawasan kediaman mereka berisiko banjir atau tidak memahami petunjuk awal berlakunya tanah runtuh, begitu juga dalam kejadian gempa bumi, bukan semua individu tahu tindakan yang perlu diambil untuk melindungi diri.
Dalam keadaan panik, seseorang mungkin sukar membuat keputusan yang tepat.
Justeru, MySiren berpotensi menjadi saluran penting untuk merapatkan jurang pengetahuan ini dengan menyampaikan amaran dan maklumat keselamatan terus kepada masyarakat.
Lagipun, telefon bimbit sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat termasuk golongan muda, orang dewasa, ibu bapa, pelajar dan warga emas.
Malah, dalam banyak keluarga, setiap ahli mempunyai peranti masing-masing.
Keadaan ini menjadikan penyampaian amaran melalui telefon satu pendekatan yang mempunyai potensi capaian luas.
Bagaimanapun, kerajaan juga perlu mengambil kira pengguna telefon yang tidak serasi, individu yang kurang mahir teknologi dan penduduk di kawasan yang mempunyai liputan rangkaian terhad supaya mereka tidak tercicir daripada sistem perlindungan ini.