PENDEDAHAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai kemungkinan pembabitan ‘nama besar’ dalam sindiket penyeludupan dadah menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuka dimensi baharu dalam usaha memerangi dadah di negara ini.
Siapa individu yang dimaksudkan pastinya menjadi tanda tanya dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi apabila Saifuddin memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil tanpa mengira jawatan atau kedudukan mereka.
Justeru, identiti ‘nama besar’ itu wajar didedahkan apabila tiba masanya mengikut lunas undang-undang agar menjadi pengajaran kepada masyarakat terutama buat mereka yang mempunyai kuasa dan kedudukan supaya tidak sesekali terjebak dalam kegiatan seumpama itu.
Apa yang turut membimbangkan ketika ini ialah sindiket berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu sedangkan operasi risikan pihak berkuasa baru bermula awal tahun ini.
Pembongkaran kegiatan sindiket tersebut seharusnya menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh pendekatan kerajaan dalam memerangi dadah khususnya dengan memberikan perhatian lebih serius kepada pihak yang menjadi 'penggerak utama' kegiatan jenayah tersebut.
Bukan sedikit jumlah dadah yang dikenal pasti diseludup menerusi dua pangkalan TUDM di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024 kerana ia mencecah tiga tan dengan anggaran nilai RM156 juta.
Di sebalik angka itu, bayangkan berapa ramai ibu bapa yang mungkin kehilangan anak angkara najis dadah dan berapa banyak keluarga yang terpaksa menanggung penderitaan akibat kegiatan individu yang hanya memikirkan keuntungan.
Sebab itu, langkah pihak berkuasa memperluaskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket termasuk pembiaya dan perancang amat penting kerana usaha membanteras dadah tidak boleh terhenti setakat menangkap pengedar dan pengangkutnya.
Kerajaan juga wajar mempergiat usaha mengesan serta melucut hak aset yang terbukti diperoleh daripada kegiatan jenayah supaya mereka yang terbabit tidak terus menikmati hasil kekayaan haram atau menggunakannya untuk menggerakkan semula kegiatan tersebut.
Dalam masa sama, usaha memerangi dadah perlu berjalan seiring dengan usaha membanteras rasuah bagi mengelakkan sindiket menggunakan wang untuk mendapatkan kerjasama atau perlindungan daripada individu yang mempunyai kuasa dan kedudukan.
Pembentangan laporan penuh mengenai kes berkenaan kepada Jemaah Menteri pada Jumaat juga diharap dapat membawa kepada penambahbaikan langkah pencegahan bagi memastikan aset dan kemudahan strategik negara tidak lagi menjadi sasaran sindiket jenayah.
Tidak kurang pentingnya, kerajaan perlu memastikan segala penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan, bukan sekadar ketika negara dikejutkan dengan pembongkaran kegiatan penyeludupan berskala besar seperti yang berlaku ketika ini.
Kita tentunya tidak mahu melihat lebih ramai anak muda menjadi mangsa dadah, sedangkan pihak yang menjadi penggerak utama kegiatan penyeludupan terus mengaut keuntungan.
Sudah tiba masanya usaha memerangi dadah dipergiat dengan memberikan tumpuan lebih besar kepada punca bekalannya.