ISTILAH ‘gila’ sering digunakan dalam percakapan harian untuk menggambarkan seseorang yang bertindak pelik, tidak rasional atau sukar dikawal. Namun, apabila membincangkan isu kesihatan mental, penggunaan istilah itu perlu lebih berhati-hati.
Apa yang membimbangkan ialah semakin ramai rakyat Malaysia berdepan masalah kesihatan mental, sedangkan sebahagian masyarakat masih melihatnya sebagai kelemahan diri atau sesuatu yang memalukan.
Sebagai contoh mengikut laporan media, seorang lelaki maut selepas dipercayai dipukul menggunakan tukul oleh adiknya yang mempunyai masalah mental dalam kejadian di Kampung Tasek, Marang pada 2 Oktober lalu.
Dalam kes berlainan, seorang warga emas maut ditikam anak perempuannya di Menglembu, Ipoh pada 27 September lalu. Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dilaporkan berkata, mangsa ditemukan dengan satu kesan tikaman di dada disyaki dilakukan suspek yang mempunyai sejarah masalah mental.
Kisah ini hanya sebahagian sahaja kes jenayah yang berlaku di negara ini berpunca daripada suspek yang mempunyai masalah mental.
Dalam masa sama, penggunaan media sosial mendedahkan seseorang kepada budaya perbandingan, tekanan untuk kelihatan berjaya serta komen negatif yang boleh menjejaskan emosi dan keyakinan diri.
Golongan muda khususnya berdepan cabaran yang berbeza. Mereka bukan sahaja perlu memikirkan pelajaran dan kerjaya, malah berdepan persaingan mendapatkan pekerjaan, hutang pendidikan, tekanan untuk memiliki kehidupan sempurna serta kebimbangan mengenai masa depan.
Jika tekanan ini tidak ditangani, ia boleh berkembang menjadi masalah yang lebih serius seperti kemurungan, gangguan keresahan dan masalah kesihatan mental lain.
Namun, tidak tepat untuk menganggap semua individu yang mengalami masalah mental sebagai ‘orang gila’. Gangguan mental mempunyai pelbagai bentuk dan tahap. Ada individu yang masih mampu bekerja, berkeluarga dan menjalani kehidupan seperti biasa walaupun memerlukan rawatan atau sokongan. Sama seperti penyakit fizikal, masalah kesihatan mental juga memerlukan diagnosis, rawatan dan pemantauan yang sewajarnya.
Persoalannya, adakah masyarakat Malaysia sudah benar-benar bersedia menerima hakikat tersebut? Masih terdapat individu yang takut mendapatkan bantuan kerana bimbang dilabel lemah, tidak waras atau menyusahkan orang lain. Stigma sebegini menyebabkan mereka memilih untuk memendam masalah sehingga keadaan menjadi lebih buruk.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, rawatan kesihatan mental di negara ini menunjukkan keberhasilan positif apabila 76 peratus pesakit psikiatri di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya dipulihkan dan diserap semula oleh pasaran guna tenaga setakat Jun lepas.
Menurut Dr Dzulkefly, rawatan penyakit mental di negara ini tidak hanya memfokuskan kepada pengurangan gejala sebaliknya menekankan proses pemulihan fungsi agar pesakit mampu berdikari.
Dalam hal ini, keluarga turut memainkan peranan penting dengan menjadi tempat pertama untuk seseorang meluahkan masalah tanpa takut dihukum atau dipersalahkan.
Hakikatnya, isu kesihatan mental bukan masalah segelintir manusia. Ia isu masyarakat yang memerlukan perhatian bersama. Jika semakin ramai rakyat mengalami tekanan mental, penyelesaiannya bukan dengan melabel mereka sebagai ‘gila’, tetapi dengan membina masyarakat yang lebih memahami, prihatin dan bersedia membantu.
*Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Sub Editor Sinar Harian