DENPASAR – Krisis bekalan bahan api di Bali mencetuskan kesesakan lalu lintas luar biasa apabila penduduk tempatan dan pelancong terpaksa beratur berjam-jam di stesen minyak bagi mendapatkan petrol dan diesel.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan ribuan kenderaan beratur panjang hingga beberapa kilometer di sekitar Denpasar dan selatan Badung, dengan sebahagian pengguna dilaporkan tidur di tepi jalan bagi memastikan mereka tidak kehilangan tempat dalam barisan.
Krisis itu turut menyebabkan beberapa stesen minyak kehabisan bekalan bahan api tertentu, sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk dan pelancong di pulau peranginan popular dunia itu.
Gangguan bekalan dilaporkan bermula pada 12 Oktober lalu, khususnya di Denpasar, Badung serta stesen minyak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai.
Keadaan turut mencetuskan kesesakan lalu lintas di Jalan Tuban yang menghala ke lapangan terbang berkenaan.
Bekalan petrol jenis Pertalite dan Pertamax semakin sukar diperoleh, menyebabkan pengguna terpaksa menunggu lama untuk mengisi minyak.
Gangguan teknikal kapal tangki
Pengarah Utama Pertamina, Simon Aloysius Mantiri, memohon maaf kepada orang ramai atas gangguan bekalan itu dan menjelaskan bahawa antara puncanya ialah masalah teknikal membabitkan sauh sebuah kapal tangki bahan api.
Menurut laporan The Bali Times, masalah berkenaan menyebabkan proses kapal berlabuh dan memunggah bekalan tertangguh pada 12 Oktober lalu hingga kira-kira jam 10 malam waktu tempatan.
Bagaimanapun, media tempatan melaporkan kapal tangki bahan api dijadualkan tiba di pulau itu secara berselang sehari sepanjang minggu ini bagi menambah bekalan petrol dan diesel.
Pertamina kemudian mempercepat penghantaran bekalan serta melanjutkan waktu operasi di beberapa stesen minyak terpilih.
Di Denpasar dan Badung, stesen minyak diarahkan beroperasi selama 24 jam bagi membantu mengurangkan barisan panjang.
Pengaturan serupa turut dirancang di Tabanan dan Gianyar.
Syarikat itu juga meminta pengusaha stesen minyak memberikan maklumat lebih jelas mengenai ketersediaan bahan api dan waktu operasi sementara proses pengagihan bekalan kembali pulih.
Malah, pelancong juga diminta merancang perjalanan
Rakaman yang dikongsi di Instagram turut menunjukkan pengguna beratur pada waktu malam, malah ada yang tidur di kaki lima sementara menunggu stesen minyak dibuka pada keesokan pagi.
Sebahagian pengguna juga dilaporkan terpaksa menolak kenderaan selepas kehabisan bahan api.
Seorang penulis blog pelancongan memberi amaran bahawa sesetengah stesen minyak mungkin kehabisan sementara jenis bahan api tertentu, selain pengguna berdepan tempoh menunggu lebih lama ketika mengisi minyak motosikal atau kereta.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik bagi memastikan bekalan dapat diagihkan kepada semua pengguna yang memerlukannya. - Agensi