Pangkalan tentera jadi 'perisai' penyeludupan kokain

Iklan
Crespo-Guzman (tengah) ditahan pihak berkuasa Bolivia pada 28 Ogos lalu sebelum proses ekstradisi ke AS diluluskan. Foto: Agensi

LA PAZ – Sebuah pangkalan tentera udara di Bolivia didakwa menjadi lokasi perlindungan operasi penyeludupan kokain selepas seorang bekas kolonel tentera udara negara itu dituduh menyalahgunakan kedudukannya untuk membantu sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Henry Richard Crespo-Guzman, 56, diekstradisi ke Washington pada 19 November lalu bagi menghadapi pertuduhan berkonspirasi mengimport kokain dan menggunakan serta memiliki senjata api automatik berkaitan kegiatan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS), Crespo-Guzman didakwa menggunakan aksesnya kepada kemudahan ketenteraan termasuk sebuah pangkalan Tentera Udara Bolivia di Cuatro Canadas yang menyediakan laluan selamat bagi penghantaran kokain yang dipercayai menuju ke beberapa negara termasuk Washington.

Siasatan mendapati kegiatan itu berlaku antara September 2020 hingga Ogos 2021 ketika beliau masih berkhidmat sebagai kolonel Tentera Udara Bolivia.

Iklan

Lebih mengejutkan, Crespo-Guzman didakwa mengadakan pertemuan dengan rakan subahat di pangkalan berkenaan sambil mengenakan pakaian seragam rasmi tentera manakala anggota bawahannya yang bersenjatakan senapang automatik ditugaskan mengawal kawasan tersebut.

Beliau didakwa turut mendedahkan keupayaan pangkalan itu termasuk kapasiti muatan kokain serta tempoh yang diperlukan untuk memindahkan dadah ke dalam pesawat.

Iklan

Pihak pendakwaan AS mendakwa beliau dan rakan subahatnya bersetuju menghasilkan serta mengedarkan kokain dalam kuantiti besar untuk dibawa masuk ke negara itu.

Crespo-Guzman ditahan pihak berkuasa Bolivia pada 28 Ogos lalu sebelum proses ekstradisi diluluskan bagi membolehkannya berdepan perbicaraan di AS.

Jika disabitkan kesalahan, beliau berdepan hukuman minimum mandatori 10 tahun penjara dan maksimum penjara seumur hidup bagi pertuduhan konspirasi mengimport kokain.

Pertuduhan berkaitan penggunaan senjata automatik pula membawa hukuman minimum mandatori 30 tahun penjara. - Agensi