PERKAHWINAN lazimnya diraikan dengan pakaian indah, jamuan meriah dan upacara penuh romantis. Namun, di beberapa negara, pasangan pengantin perlu melalui tradisi luar biasa sebelum memulakan kehidupan sebagai suami isteri. Setiap adat mempunyai kepercayaan dan makna tersendiri. Walaupun kelihatan pelik atau mencuit hati, adat perkahwinan yang diwarisi daripada generasi terdahulu itu mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat dunia dalam meraikan penyatuan dua insan. Berikut 10 tradisi perkahwinan istimewa dari seluruh dunia.
1. Melangkah atas penyapu (AS)
Dalam tradisi jumping the broom, pasangan melompat atau melangkah atas penyapu sebagai lambang permulaan kehidupan berumah tangga. Amalan ini mempunyai sejarah yang berkait rapat dengan komuniti Afrika-Amerika termasuk ketika golongan hamba dinafikan hak perkahwinan yang sah.
2. Pengantin lelaki beri angsa kayu (Korea Selatan)
Dalam upacara perkahwinan tradisional yang dikenali sebagai Jeon-an-rye, pengantin lelaki menyerahkan sepasang angsa kayu kepada ibu pengantin perempuan sebagai tanda penghormatan dan kesungguhan untuk membina rumah tangga. Angsa dipilih kerana haiwan itu sering dikaitkan dengan kesetiaan dan hubungan sepanjang hayat.
3. 'Tetamu tidak diundang' pakai kostum jerami (Ireland)
Kumpulan 'tetamu tidak diundang' dikenali sebagai Strawboys akan muncul di majlis perkahwinan dengan pakaian dan topi berbentuk kon daripada jerami. Mereka menari bersama pengantin perempuan dan menghiburkan tetamu, dipercayai membawa tuah kepada pasangan.
4. Cincin tersembunyi di bawah kek (Peru)
Beberapa reben disembunyikan di bawah kek dan setiap reben mempunyai hiasan kecil. Salah satu daripadanya dilekatkan dengan cincin tiruan. Wanita bujang yang menarik reben itu dipercayai bakal menjadi pengantin seterusnya.
5. 'Curi' kasut pengantin lelaki (India)
Dalam adat Joota Chupai, saudara perempuan pengantin perempuan akan mencuri kasut pengantin lelaki ketika majlis perkahwinan. Pengantin lelaki perlu memberikan wang atau hadiah sebagai tebusan untuk mendapatkan semula kasutnya.
6. Sambut pengantin dengan roti dan garam (Poland)
Ibu bapa menyambut pasangan dengan roti yang ditabur garam. Roti melambangkan harapan agar mereka tidak hidup dalam kelaparan, manakala garam mengingatkan bahawa kehidupan berumah tangga turut mempunyai cabaran.
7. Gergaji sebatang kayu (Jerman)
Dalam adat Baumstamm sagen, pasangan bekerjasama menggergaji kayu menggunakan gergaji dua pemegang selepas upacara perkahwinan. Ia melambangkan kerjasama ketika menghadapi cabaran kehidupan bersama.
8. Tetamu terima lima biji badam bersalut gula (Itali)
Confetti Itali ialah badam bersalut gula yang lazimnya diberikan kepada tetamu sebagai cenderahati perkahwinan. Lima biji sering dipilih untuk melambangkan kesihatan, kekayaan, kebahagiaan, kesuburan dan umur panjang.
9. Wang dan hadiah hiasi katil pengantin (Greece)
Dalam adat krevati, ahli keluarga dan rakan membantu menyediakan katil pasangan sebelum perkahwinan. Wang atau hadiah diletakkan di atas katil sebagai simbol harapan untuk kemakmuran dan kehidupan berkeluarga.
10. Pengantin perempuan menangis selama sebulan (China)
Dalam tradisi perkahwinan masyarakat Tujia di China, pengantin perempuan perlu menangis setiap hari selama sebulan sebelum majlis perkahwinan. Dalam upacara Zuo Tang, ibu, nenek dan saudara perempuan turut menyertai ritual berkenaan dengan menangis secara bergilir-gilir. Ia dianggap sebagai luahan emosi dan cara mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga sebelum memulakan kehidupan baharu.