BANGKOK - Seorang penyanyi Thailand bertindak menendang muka seorang lelaki selepas individu itu didakwa meraba bahagian dadanya ketika dia sedang berinteraksi dengan penonton dalam satu persembahan di wilayah Chonburi.
Namkhaeng Thipawan yang turut dikenali sebagai Ice berdepan gangguan seksual itu ketika membuat persembahan sempena sambutan Loy Krathong di daerah Ban Bueng pada 24 November lalu.
Menurut laporan media tempatan, penyanyi itu sedang membongkok di hadapan pentas untuk bersalaman dan menyapa peminat sebelum seorang lelaki didakwa mengambil kesempatan dengan menyentuh bahagian dadanya secara tiba-tiba.
Pengurus peribadinya, Wutthichai Sonwiang yang sedang membuat siaran langsung ketika kejadian turut menyaksikan perbuatan itu sebelum memaklumkan kepada petugas keselamatan untuk menahan individu berkenaan.
Namkhaeng kemudiannya bersemuka dengan pelaku. Rakaman dikongsikan penyanyi itu di media sosial menunjukkan lelaki berkenaan melutut sambil merapatkan kedua-dua tapak tangan sebagai tanda memohon maaf sebelum Namkhaeng menerajang mukanya.
Dalam hantaran tersebut, penyanyi itu meluahkan kemarahan terhadap perbuatan lelaki tersebut. Walaupun terkejut dan berang dengan kejadian itu, Namkhaeng tetap meneruskan persembahan sehingga selesai.
Klip itu mencetuskan perbincangan meluas di media sosial dengan ramai pengguna menyuarakan sokongan terhadap tindakan tegas penyanyi tersebut.
Pengurusnya turut menegaskan tindakan tidak senonoh terhadap wanita tidak boleh diterima tanpa mengira pekerjaan atau latar belakang mereka.
Sementara itu, pihak polis dijadual mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak bagi mengambil keterangan dan membincangkan penyelesaian kes berkenaan.
Namkhaeng dilaporkan berharap perkara itu dapat diselesaikan tanpa perlu meneruskan tindakan undang-undang. – Agensi