Teka-teki 'wabak misteri' di Siberia belum terungkai

Iklan
Lebih 5,000 ujian yang dijalankan tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan berkaitan penyakit berjangkit.

IRKUTSK - “Wabak apa?” soal seorang penduduk Irkutsk dengan nada kehairanan apabila ditanya tentang krisis epidemiologi yang menjadikan bandar kecil di Siberia berhampiran Mongolia itu tumpuan utama berita seluruh dunia sepanjang minggu lalu.

“Anda nampak saya pakai pelitup muka?” balas seorang kerani farmasi dengan nada kesal apabila ditanya sama ada dia menyedari kebimbangan orang ramai susulan laporan mengenai kuarantin dan kematian seorang pekerja makmal.

Iklan
Iklan

“Walau apa pun yang dikatakan pihak berkuasa, kami akan tetap patuh,” kata dua wanita warga emas yang bersantai di buaian taman di Shelekhov.

Ironinya, gabenor wilayah itu sendiri pernah menasihatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi kawasan pinggir bandar berkenaan susulan kebimbangan terhadap penularan 'jangkitan yang amat berbahaya'. Bagaimanapun, hantaran tersebut dipadamkan tidak lama kemudian.

Iklan

Penduduk Irkutsk pula seolah-olah tidak mengendahkan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berhubung dakwaan penularan 'wabak misteri' di wilayah berkenaan.

Sementara itu, pihak berkuasa Rusia terus berpegang pada penjelasan rasmi yang dikeluarkan oleh agensi perlindungan pengguna dan kesihatan awam negara itu, Rospotrebnadzor.

Iklan

Menurut agensi berkenaan, Daria Shipilova, seorang penyelidik berusia 28 tahun di Institut Penyelidikan Kawalan Penyakit Sampar Irkutsk meninggal dunia pada 2 Oktober lalu akibat radang paru-paru yang puncanya masih belum dikenal pasti.

Gabenor wilayah itu, Igor Kobzev pada 8 Oktober pula mengisytiharkan krisis berkenaan telah berakhir.

“Kuarantin telah ditarik balik. Lebih 5,000 ujian yang dijalankan tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan berkaitan penyakit berjangkit,” katanya.

Bagaimanapun, WHO masih menuntut penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa Rusia termasuk mengenai punca kematian penyelidik berkenaan.

Penjelasan Moscow bagaimanapun masih belum menjawab beberapa persoalan penting khususnya mengenai sebab kes itu mencetuskan tindakan kecemasan sehingga hampir 200 individu dikenakan kuarantin atau diletakkan di bawah pemantauan sebelum ini.

Ketua Pengarang akhbar tempatan, Lyudi Baikala (People of Baikal), Elena Trifonova berkata, ketidakjelasan maklumat pihak berkuasa membuka ruang kepada kemungkinan bahawa krisis itu berpunca daripada jangkitan yang merebak daripada haiwan kepada manusia.

Seorang pekerja klinik veterinar di Angarsk, sebuah bandar berhampiran turut memaklumkan pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan menyeluruh berkaitan wabak pada Khamis lalu.

“Ancaman itu mungkin telah dibendung dan keadaan kini terkawal. Namun, pihak berkuasa masih belum mengisytiharkan ancaman kesihatan sudah berakhir,” jelas Trifonova.

Penduduk Irkutsk menjalani aktiviti harian seperti biasa meskipun 'wabak misteri' itu telah mencetuskan kebimbangan kepada komuniti antarabangsa.

Rusia turut berdepan krisis yang hampir serupa pada awal tahun ini apabila pihak berkuasa memusnahkan ternakan secara besar-besaran di beberapa wilayah termasuk Irkutsk. Ketika itu, para penternak hanya dimaklumkan tentang 'jangkitan yang amat berbahaya'.

“Pengesahan sedemikian boleh menyebabkan sempadan ditutup selain larangan terhadap penjualan daging dan susu. Keadaan itu sudah tentu akan membawa kerugian ekonomi dan menjejaskan reputasi negara.

“Pihak berkuasa Rusia sebenarnya menyembunyikan maklumat. Itulah ciri negatif sistem autoritarian atau totalitarian,” katanya lagi.

Sikap tidak peduli dan teori konspirasi

Walaupun kuarantin telah ditarik balik, beberapa hospital masih mengekalkan sekatan tertentu hingga menimbulkan persoalan tentang penularan wabak yang cuba disembunyikan.

“Perhatian: Akses terhad. Lawatan kepada pesakit yang dimasukkan ke hospital dihadkan buat sementara waktu. Kemasukan hanya dibenarkan dengan kebenaran!” menurut notis yang dipaparkan di pintu masuk Hospital No 3 Irkutsk.

Satu lagi notis merujuk kepada arahan bertarikh 2 Oktober yang melarang lawatan kepada pesakit atas alasan 'musim selesema, jangkitan pernafasan akut dan strain baharu Covid-19 bagi tahun 2026–2027'.

Sementara itu, siasatan akhbar Lyudi Baikala terhadap 15 buah farmasi pada awal krisis mendapati beberapa premis kehabisan bekalan antibiotik yang mencerminkan kebimbangan yang timbul susulan perkembangan kes tersebut.

Kegagalan pihak berkuasa memberikan penjelasan yang jelas ditambah pula dengan propaganda berterusan menyemarakkan lagi teori konspirasi dan penyebaran maklumat palsu dalam kalangan penduduk Irkutsk.

“Cerita mengenai wabak misteri itu tidak benar. Semuanya baik-baik sahaja. Cuma dua orang wanita didiagnosis menghidap Covid-19,” kata Lidia, seorang pesara dari Shelekhov, kawasan tempat penyelidik berkenaan menerima rawatan sebelum meninggal dunia.

Irkutsk mempunyai keluasan 35 peratus lebih besar daripada Sepanyol, namun jumlah penduduknya hanya sekitar lima peratus daripada populasi negara itu. Wilayah berkenaan juga mempunyai hubungan rapat dengan negara jiran, Mongolia.

Ketika masyarakat antarabangsa masih menantikan penjelasan menyeluruh daripada Moscow, penduduk Irkutsk turut menjadikan situasi itu sebagai bahan jenaka.

“Perhatian! Beruang mungkin muncul di kawasan penempatan di wilayah ini. Sentiasa berwaspada!” demikian mesej amaran yang dihantar oleh pihak berkuasa Irkutsk ke telefon bimbit penduduk pada akhir minggu lalu. - Agensi