ISKANDAR PUTERI - Eng Ler Qi muncul antara pemain yang wajar diberikan perhatian pada hari pembukaan Kejohanan Badminton Allianz Malaysia Super 100 2026 selepas mempamerkan semangat juang dan ketahanan mental dalam acara perseorangan wanita di Arena Tertutup Kompleks Sukan EduCity, di sini pada Selasa.
Ler Qi menewaskan wakil Hong Kong, Saloni Samirbhai Mehta, menerusi pertarungan sengit tiga set 22-20, 19-21, 21-11.
Mengulas perlawanan itu, Ler Qi mengakui sedikit gementar pada awal permainan selain mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang yang berangin.
Keadaan itu katanya menyukarkannya mencari rentak permainan pada peringkat awal perlawanan.
“Pada mulanya, saya berasa gementar dan sukar menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang kerana faktor anginSaya gagal mendapatkan momentum, tetapi tidak berputus asa dan terus mencuba,” katanya.
Ler Qi berkata, dia mengingatkan dirinya supaya tidak terburu-buru melakukan pukulan atau terlalu bimbang melakukan kesilapan.
Pendekatan itu katanya, membantunya membina semula keyakinan sebelum menguasai permainan secara berperingkat.
“Saya hanya mengingatkan diri supaya tidak terburu-buru, tidak gementar kerana takut melakukan kesilapan dan bermain mengikut corak permainan sendiri,” katanya.
Menurutnya, lawan turut cuba memperlahankan tempo permainan bagi memaksanya mengikut rentak yang ditetapkan.
Bagaimanapun, Ler Qi kekal fokus untuk mengekalkan kepantasan pukulan dan tidak terikut-ikut dengan corak permainan lawan.
“Saya terus mengingatkan diri supaya tidak memperlahankan tempo pukulan.
"Walaupun lawan masih mampu mengembalikan pukulan itu, saya perlu terus mencuba dan tidak mengikut rentaknya,” katanya.
Ler Qi juga menyifatkan kejohanan itu sebagai peluang berharga untuk mengukur kemampuan apabila berdepan pemain yang mempunyai ranking lebih tinggi.
Walaupun pernah beraksi dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 100 dua tahun lalu, dia mengakui prestasinya ketika itu tidak mencapai tahap yang diharapkan.
“Saya fikir kejohanan ini peluang yang sangat baik untuk mengukur tahap permainan kerana ramai pemain di sini mempunyai ranking lebih tinggi daripada saya
'Saya hanya mahu mengelakkan diri daripada terlalu memikirkan perkara lain dan memberikan tumpuan kepada permainan,” katanya.
Selain Ler Qi, beberapa wakil negara turut mencatat keputusan positif dalam pusingan kelayakan.
Dalam acara perseorangan wanita, Shahidi Shaneesa menewaskan wakil Venezuela, Juliana Zefanya Gabriela, 21-10, 21-11.
Sementara itu, Lim Zhi Shin bangkit selepas tewas set kedua untuk menundukkan pemain Thailand, Nattanan Kulamat, 21-14, 8-21, 21-17.
Beregu wanita negara, Dania Sofea dan Tan Zhing Hui, pula menewaskan rakan senegara, Lee Xin Jie dan Low Yeen Yuan, 21-13, 21-9.
Sementara itu, Tan Zhi Yang-Teoh Mei Xing mencatat kemenangan meyakinkan dalam acara beregu campuran apabila menewaskan Beh Chun Meng dan Karen Yun Qiao Feng, 21-9, 21-11.
Dalam acara beregu lelaki, pasangan negara Beh Chun Meng- Choi Jian Sheng turut mara selepas menewaskan Eason Lee dan Xu Wong, 21-10, 21-14.
manakala lagi gandingan Malaysia, Juan Jeremy Zhen Liang dan Lim Tze Jian, mempamerkan aksi cemerlang untuk menundukkan pasangan Türkiye, Bugra Aktas dan Emre Sonmez, 21-16, 21-8.
Dalam acara perseorangan lelaki, Razeeq Danial turut melakar kemenangan selepas mengatasi wakil Indonesia, Henrikho Wibowo Kho, 23-21, 21-17.
Sementara itu, gandingan beregu campuran Juan Jeremy Zhen Liang dan Low Yeen Yuan bangkit selepas tewas tipis 20-22 pada set pertama untuk menewaskan pasangan India, Samarveer Samarveer dan Vaishnavi Khadekar, dengan keputusan seterusnya 21-13, 21-14.