JOHOR BAHRU – Cubaan ratusan warga asing melarikan diri dan bersembunyi bagi mengelak pemeriksaan gagal apabila 492 individu ditahan dalam serbuan di sebuah kilang komponen automotif dan elektronik di Tebrau, di sini, pada Isnin.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan pada jam 10 pagi itu dijalankan dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Jelas beliau, serbuan dilakukan hasil risikan selama beberapa minggu serta aduan orang awam berhubung kegiatan majikan yang dipercayai menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran.
Menurutnya, pemantauan intensif dijalankan susulan maklumat mengenai kegiatan majikan yang dipercayai mengambil pekerja asing secara tidak sah bagi mengelakkan kos penggajian lebih tinggi.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat beberapa individu cuba melarikan diri dan bersembunyi.
“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas serta kawalan anggota di lokasi, mereka berjaya dikesan dan diberkas.
"Turut ditahan seorang warga tempatan yang dipercayai pengurus kilang berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Mohd Rusdi, pemeriksaan awal mendapati kesemua 492 warga asing yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk bekerja tanpa kebenaran dan gagal mengemukakan dokumen sah.
"Mereka terdiri daripada 247 lelaki dan 245 wanita warga Myanmar, Bangladesh, Nepal, India, Pakistan, Indonesia serta Kemboja, berusia antara 19 hingga 46 tahun.
"Warga Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi dalam kalangan lelaki yang ditahan iaitu 170 orang, diikuti Myanmar (77), Nepal (48), Indonesia (38), India (28) dan Pakistan (tiga).
"Bagi wanita pula, warga Myanmar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 66 orang, diikuti Indonesia (49), Nepal (tujuh), India (tiga), Bangladesh (dua) dan Kemboja (seorang)," jelasnya.
Beliau berkata, kesemua tahanan disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan serta tindakan lanjut.
Mohd Rusdi berkata, pihaknya menghargai kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Johor.
Beliau menegaskan, JIM Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah.