Institusi diraja bukan alat politik, jangan derhaka – Onn Hafiz

Iklan
Seramai 56 ADUN Johor bangun berdiri dan melaungkan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali pada akhir persidangan DUN Johor sebagai tanda menjunjung kasih dan taat setia kepada institusi diraja.

ISKANDAR PUTERI – Institusi diraja tidak boleh dijadikan modal politik, sebaliknya setiap keputusan yang dibuat menurut lunas Perlembagaan perlu dihormati semua pihak.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri akan terus mempertahankan kedaulatan institusi diraja serta menentang sebarang bentuk penderhakaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kesetiaan kepada institusi diraja bukan sekadar adat dan tradisi, sebaliknya menjadi asas kepada kestabilan, keharmonian serta kelangsungan pemerintahan negeri dan negara.

"Institusi diraja tidak boleh dipolitikkan. Setiap keputusan yang dibuat menurut lunas Perlembagaan mestilah dihormati.

Iklan

"Perbezaan pandangan bukan alasan untuk derhaka atau menghina institusi diraja," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Menurutnya, pendirian kerajaan negeri jelas untuk terus mempertahankan kedaulatan institusi diraja, menghormati Perlembagaan dan menentang apa sahaja bentuk penderhakaan.

Iklan

Onn Hafiz turut menegaskan bahawa perubahan kepimpinan dan kerajaan tidak seharusnya menjejaskan kesetiaan kepada Raja dan negara.

"Pemimpin boleh berubah, kerajaan boleh bertukar, tetapi kesetiaan kepada Raja dan negara mesti kita pertahankan," katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas segala titah, nasihat dan panduan yang menjadi pedoman kepada kerajaan negeri.

Sebagai penutup persidangan, seramai 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor turut bangun berdiri dan bersama-sama melaungkan ungkapan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali sebagai tanda menjunjung kasih serta kesetiaan kepada institusi diraja.