ISKANDAR PUTERI – Lima ekor anjing liar ditangkap Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) susulan dua insiden serangan anjing terhadap kanak-kanak di Lima Kedai, dekat sini pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, operasi itu akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat, terutama kanak-kanak.
“Dalam kejadian pertama, seorang kanak-kanak dikejar lapan ekor anjing sehingga mengalami kecederaan parah pada kaki dan jari.
“Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, seorang lagi kanak-kanak berusia enam hingga tujuh tahun dikerumuni enam ekor anjing sehingga mengalami kecederaan pada leher, mata dan badan,” katanya ketika ditemui semasa operasi menangkap anjing liar di Lima Kedai, di sini pada Selasa
Beliau berkata, mangsa kedua bernasib baik apabila seorang penduduk bertindak membaling batu ke arah anjing berkenaan sebelum haiwan itu melarikan diri.
Katanya, kejadian itu menunjukkan masalah anjing liar perlu ditangani secara serius bagi mengelakkan insiden sama berulang, khususnya di kawasan perumahan yang menjadi tempat kanak-kanak bermain.
“Saya menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menubuhkan pasukan khas untuk menangani masalah ini supaya keselamatan dan ketenteraman masyarakat terjamin.
“Jangan sekadar menangkap anjing di satu kawasan dan memindahkannya ke kawasan lain kerana tindakan itu tidak menyelesaikan masalah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau meminta pemilik anjing memastikan haiwan peliharaan masing-masing tidak dibiarkan berkeliaran sehingga mengganggu atau membahayakan penduduk.
Pandak berkata, aspek pelesenan pemeliharaan anjing juga perlu diberi perhatian bagi memastikan pemilik mematuhi syarat ditetapkan, termasuk langkah menjaga keselamatan dan keselesaan masyarakat sekitar.