ISKANDAR PUTERI – Hasrat seorang remaja lelaki membeli ubat untuk adiknya yang demam bertukar detik cemas apabila dia diserang anjing liar di Kawasan Taman Perumahan Rakyat Lima Kedai di sini, pada awal pagi Isnin.
Mohammad Alif Najmi Mohd Razi, 15, berkata, dia tidak menyangka perjalanan singkat ke kedai runcit kira-kira 200 meter dari rumahnya itu berakhir dengan kecederaan apabila seekor anjing menerkam dan menggigit kaki kirinya.
“Saya terus menendang anjing itu sekuat hati sebelum bangun dan berlari ke tingkat atas sambil menjerit meminta tolong. Mujur ada penduduk yang mendengar jeritan saya dan membantu,” katanya.
Ibunya Norazila Abdul Salam, 44, memberitahu dia mula bimbang apabila anaknya tidak pulang seperti kebiasaan selepas keluar membeli ubat untuk adiknya yang demam pada awal pagi.
“Biasanya kalau turun membeli barang, tak sampai lima minit sudah pulang. Tetapi kali ini saya tunggu lama dan tertanya-tanya kenapa dia tak sampai-sampai.
“Kemudian, kawan dia beritahu Alif digigit anjing dan dihantar pulang. Saya terkejut apabila melihat kakinya berdarah teruk,” katanya yang juga ibu tunggal.
Norliza yang juga pekerja pembersihan cuba menghentikan pendarahan menggunakan tisu, namun darah terus mengalir kerana luka pada kaki anaknya.
Katanya, Alif yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik itu menerima suntikan dan rawatan bagi mengurangkan kesakitan.
“Jika masih tidak pulih, dia perlu dirujuk ke hospital.
Dalam pada itu, Norazila berkata, dia turut dimaklumkan mengenai seorang lagi kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dipercayai diserang anjing liar pada hari sama.
“Saya memang risau, bukan sahaja terhadap anak sendiri, tetapi juga anak-anak orang lain yang keluar pada waktu petang atau malam untuk menghadiri kelas tambahan.
“Sekarang setiap kali anak-anak hendak turun, saya pesan supaya berhati-hati dan jangan keluar kerana takut digigit anjing liar,” katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah anjing liar di kawasan berkenaan demi keselamatan penduduk.