ISKANDAR PUTERI - “Saya fikir, kalau lambat 10 minit, mati budak itu,"
Demikian kata penduduk, Abdullah Md Noh,73, yang bertindak menghalau sekumpulan anjing liar menggunakan batu bagi menyelamatkan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang diserang haiwan berkenaan di Taman Perumahan Rakyat Lima Kedai di sini pada Isnin.
Pesara itu memberitahu, dia kebetulan membawa cucunya pada kira-kira jam 3 petang untuk membeli makanan ringan sebelum terdengar jeritan kanak-kanak itu.
Menurutnya, dia melihat mangsa sudah terbaring dikerumuni anjing sebelum mengambil batu untuk menghalau haiwan terbabit.
“Saya nampak budak itu sudah dikerumuni anjing. Saya terus ambil batu dan halau, barulah anjing itu lari.
“Kalau tidak diselamatkan, mungkin dalam 10 minit lagi budak itu boleh mati,” katanya.
Dia memberitahu, selepas anjing berkenaan beredar, datuk mangsa datang membawa kanak-kanak itu pergi mendapatkan rawatan.
Lebih membimbangkan katanya, seorang lagi remaja lelaki dilaporkan turut digigit anjing liar di kawasan sama pada awal pagi hari kejadian.
Abdullah berkata, penduduk sudah lama berdepan masalah anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan dan deretan kedai berdekatan.
"Walaupun tindakan menangkap anjing pernah dilakukan, tapi haiwan itu masih ada berkeliaran di kawasan itu.
“Memang kami (penduduk) risau. Ramai budak kecil, ada yang berusia setahun dua, bermain di taman perumahan ini.
" Kalau boleh, saya minta pihak berkenaan ambil tindakan banteras anjing liar ini supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.