SURABAYA - Seorang bayi perempuan berusia 28 hari meninggal dunia selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, dipercayai selepas diberikan telur mentah oleh neneknya ketika mengalami demam.
Bayi dikenali sebagai Alena itu disahkan meninggal dunia di Hospital Dr Soetomo, Surabaya, Jawa Timur pada Ahad selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sejak Jumaat.
Menurut laporan detikJatim, nenek sebelah bapa bayi berkenaan didakwa menyuapkan telur mentah kepada cucunya dengan tujuan menurunkan suhu badan selepas bayi itu mengalami demam.
Bagaimanapun, keadaan Alena dilaporkan semakin merosot sehingga memerlukan rawatan intensif di hospital.
Pegawai Perhubungan Awam Hospital Dr Soetomo, Adin Niken mengesahkan bayi itu meninggal dunia pada jam 7.10 pagi waktu tempatan.
"Benar, pesakit bayi berkenaan meninggal dunia hari ini (Ahad) pada jam 7.10 pagi. Usianya 28 hari ketika meninggal dunia," katanya.
Beliau memaklumkan pasukan perubatan telah memberikan rawatan sewajarnya mengikut prosedur dan keperluan pesakit.
Bagaimanapun, pihak hospital enggan mengulas lanjut mengenai keadaan kesihatan bayi itu serta dakwaan pemberian telur mentah atas alasan kerahsiaan maklumat pesakit.
Kes tersebut mendapat perhatian selepas ibu saudara Alena berkongsi perkembangan kesihatan bayi berkenaan menerusi platform Threads sebelum mengumumkan berita kematiannya pada Ahad.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan dan Timbalan Gabenor Jawa Timur, Emil Elestianto Dardak atas bantuan sepanjang Alena dirawat.
Sementara itu, beberapa doktor yang mengulas kes tersebut mengingatkan orang ramai bahawa bayi baru lahir tidak sepatutnya diberikan makanan atau minuman selain susu ibu atau susu formula yang sesuai, kecuali atas arahan perubatan.
Makanan pelengkap lazimnya hanya diperkenalkan apabila bayi mencapai usia sekitar enam bulan.
Setakat ini, belum ada pengesahan perubatan bahawa telur mentah menjadi punca kematian Alena. - Agensi