JOHOR BAHRU - Kerajaan Negeri Johor akan melaksanakan solat hajat di semua masjid dan surau di seluruh negeri bermula hari ini sehingga keadaan kembali pulih, susulan jerebu ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, solat hajat itu diadakan selepas solat Maghrib sebagai usaha memohon pertolongan dan perlindungan daripada ALLAH SWT agar keadaan kualiti udara kembali baik serta kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.
Iklan
Iklan
"Sehubungan dengan itu, seluruh umat Islam diseru untuk bersama-sama menyertai solat hajat serta memperbanyakkan doa dan munajat agar keadaan jerebu dapat diatasi, segala urusan dipermudah dan seluruh rakyat sentiasa berada dalam rahmat serta perlindungan Allah SWT," katanya menerusi hantaran Facebook pada Isnin.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor berharap agar usaha itu menjadi ikhtiar dalam memohon kesejahteraan seluruh rakyat dan keadaan kembali pulih seperti sediakala.
Di Johor, tujuh kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 4 petang tadi dengan Pasir Gudang mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 174 diikuti Kota Tinggi (170), Pengerang (166), Larkin (160), Tangkak (152), Batu Pahat (156) dan Kluang (151). - Bernama