Indonesia jangan pandang ringan, jerebu rentas sempadan - Pengimbang DUN Johor

Iklan
Andrew Chen Kah Eng

JOHOR BAHRU - Indonesia digesa menghentikan sikap tidak peduli terhadap pencemaran jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia, selain tampil memohon maaf kepada negara ASEAN yang terkesan.

Ketua Pengimbang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Andrew Chen Kah Eng berkata, hak menghirup udara bersih adalah hak asasi manusia yang tidak boleh dikompromi.

Iklan
Iklan

Beliau turut meminta jurucakap Indonesia menghentikan sikap tidak peduli, sebaliknya mengambil tanggungjawab terhadap pencemaran jerebu yang berpunca daripada aktiviti manusia sehingga menjejaskan negara jiran, termasuk Malaysia.

Menurutnya, tindakan membiarkan jerebu yang mengandungi zarah halus PM2.5 mencemari udara negara lain tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila keadaan itu mengancam kesihatan orang ramai.

Iklan

“Rakyat Malaysia sedang menderita akibat pencemaran ini, namun pegawai anda seolah-olah mempermainkan kesihatan kami.

“Sikap begini tidak boleh diterima. Kesihatan dan nyawa rakyat bukan bahan untuk dijadikan gurauan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum itu, Indonesia dilaporkan meminta Malaysia dan Singapura memahami bahawa kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu rentas sempadan ketika ini didakwa berpunca daripada fenomena alam, bukannya kesilapan manusia.

Ketua Badan Komunikasi Pemerintah Indonesia (Bakom), Syahganda Nainggolan berkata, kerajaan memahami kebimbangan kedua-dua negara berhubung pencemaran udara akibat asap kebakaran hutan yang melanda beberapa wilayah republik itu.

Sehubungan itu, Andrew yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, menggesa isu jerebu rentas sempadan ditangani secara serius dan bertanggungjawab demi melindungi kesihatan serta kesejahteraan rakyat di rantau ini.

Jelas beliau, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN masing-masing mempunyai deklarasi yang mengiktiraf hak terhadap persekitaran bersih, selamat dan sihat sebagai hak asasi manusia sejagat.

Sementara itu, keadaan jerebu yang melanda Johor menyaksikan beberapa kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, malah Batu Pahat merekodkan bacaan melebihi 200, iaitu tahap sangat tidak sihat, pada 7 Oktober lalu.

Susulan keadaan itu, semua sekolah di Johor ditutup pada 8 dan 9 Oktober sebelum tempoh penutupan dilanjutkan selama lima hari lagi bermula 12 hingga 16 Oktober ini berikutan kualiti udara yang masih membimbangkan.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa pencemaran udara serta risiko terhadap kesihatan murid, selain jangkaan pergerakan angin dari Kalimantan, Indonesia, yang berpotensi membawa pencemaran rentas sempadan ke Johor.