Rakyat Indonesia belanja lebih banyak untuk rokok berbanding makanan berkhasiat

Iklan
Purata perbelanjaan bulanan bagi rokok dan tembakau mencecah 94,180 rupiah (RM21.50) seorang. Foto imej dijana AI

JAKARTA - Rakyat Indonesia secara purata membelanjakan lebih banyak wang untuk membeli rokok dan tembakau berbanding gabungan perbelanjaan bagi daging, telur, susu sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap corak pemakanan serta kesihatan masyarakat.

Menurut laporan Badan Pusat Statistik (BPS) bertajuk Pengeluaran untuk Konsumsi Penduduk Indonesia Maret 2026, purata perbelanjaan bulanan bagi rokok dan tembakau mencecah 94,180 rupiah (RM21.50) seorang.

Iklan
Iklan

Jumlah itu merangkumi 11.57 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan makanan penduduk, menjadikan rokok dan tembakau kategori kedua tertinggi selepas makanan siap.

Sebagai perbandingan, purata perbelanjaan bulanan bagi daging hanya 40,352 rupiah (RM9.21), manakala telur dan susu pula sebanyak 44,915 rupiah (RM10.25).

Iklan

Ini bermakna jumlah gabungan perbelanjaan bagi ketiga-tiga sumber makanan berkhasiat itu hanya 85,267 (RM19.46), lebih rendah berbanding peruntukan untuk rokok dan tembakau.

Menurut laporan Liputan6.com pada Ahad, perbelanjaan bagi buah-buahan juga jauh lebih rendah, dengan purata 48,784 rupiah (RM11.13) seorang sebulan, hampir separuh daripada jumlah yang dibelanjakan untuk rokok.

Iklan

Jurang perbelanjaan itu lebih ketara dalam kalangan penduduk luar bandar yang mencatatkan purata perbelanjaan rokok dan tembakau sebanyak 100,951 rupiah (RM23.04) seorang sebulan.

Sebaliknya, penduduk luar bandar hanya membelanjakan purata 26,046 rupiah (RM5.95) untuk daging, 38,016 rupiah (RM8.69) bagi telur dan susu serta 37,563 rupiah (RM8.56) untuk buah-buahan.

Perbandingan itu menunjukkan perbelanjaan rokok dan tembakau di luar bandar hampir empat kali ganda lebih tinggi berbanding perbelanjaan daging.

Malah, jumlah yang diperuntukkan bagi rokok turut mengatasi gabungan perbelanjaan daging, telur dan susu di kawasan berkenaan.

Corak penggunaan tersebut menimbulkan persoalan mengenai keutamaan perbelanjaan masyarakat, khususnya ketika kerajaan Indonesia giat menangani masalah kekurangan zat makanan dan bantut tumbesaran atau stunting dalam kalangan kanak-kanak.

Perbelanjaan tinggi terhadap rokok juga berpotensi mengehadkan kemampuan isi rumah berpendapatan rendah mendapatkan makanan berkhasiat yang diperlukan untuk kesihatan dan perkembangan keluarga.

Dapatan berkenaan memperlihatkan cabaran yang dihadapi Indonesia dalam memperkukuh tahap pemakanan rakyat, khususnya apabila sebahagian besar perbelanjaan makanan masih tertumpu kepada produk tembakau. - Agensi