Dalang dera kanak-kanak di pusat jagaan Indonesia dipenjara sembilan tahun

Iklan
Rakaman keadaan di pusat jagaan berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai sehingga premis itu ditutup tidak lama selepas video tular di media sosial. Foto Agensi

JAKARTA - Sebuah mahkamah di Indonesia pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap Pengerusi Yayasan Little Aresha kerana membenarkan penderaan kanak-kanak berlaku di pusat jagaan kendaliannya.

Diyah Kusumastuti ditahan pada April lalu bersama 11 pekerja pusat jagaan dan pengetuanya selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar di media sosial memaparkan kanak-kanak terbaring di atas lantai hanya memakai lampin dengan tangan dan kaki diikat menggunakan kain buruk.

Iklan
Iklan

Hakim Sunaryanto berkata, Diyah didapati bersalah kerana membiarkan penganiayaan dan pengabaian berterusan terhadap kanak-kanak selain membenarkan keganasan terhadap mereka.

Diyah turut disabitkan kesalahan mengendalikan sebuah institusi pendidikan tanpa permit.

Iklan

Sunaryanto mengarahkan Diyah menjalani hukuman penjara sembilan tahun dan membayar denda sebanyak 900 juta rupiah (RM202,000) dan pampasan melebihi 200 juta rupiah (RM45,000) kepada ibu bapa kanak-kanak yang menjadi mangsa.

Hukuman itu bagaimanapun lebih ringan berbanding tuntutan pendakwa raya yang memohon hukuman penjara 10 tahun.

Iklan

Keputusan mahkamah itu dibuat seminggu selepas pengetua pusat jagaan berkenaan, Anita Palupi Indahsari dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana membenarkan penderaan berlaku.

Imedia Dwi Anjan yang menghantar anak lelakinya berusia empat tahun ke pusat jagaan itu menyifatkan hukuman terhadap Diyah masih belum setimpal dengan kesalahan dilakukan.

“Dialah dalang utama, dia yang memberikan arahan. Dengan hukuman dan jumlah pampasan sebegitu, adakah saya berpuas hati? Sudah tentu tidak,” tegasnya.

Seramai 11 pekerja pusat jagaan itu, kesemuanya wanita dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun pada bulan lalu.

Rakaman keadaan di pusat berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai sehingga premis itu ditutup tidak lama selepas video tular di media sosial.

Seramai 20 kanak-kanak ditempatkan dalam sebuah bilik sempit berukuran hanya tiga meter panjang dan tiga meter lebar.

Pihak berkuasa menganggarkan lebih separuh daripada kira-kira 100 kanak-kanak yang berada di pusat jagaan itu menjadi mangsa penderaan.

Ketua Polis Bandar ketika itu, Eva Guna Pandia memberitahu staf pusat jagaan memberi alasan mereka terpaksa mengikat sebahagian mangsa kononnya bagi mengelakkan mereka mengganggu kanak-kanak lain.

Mereka turut mendakwa kekurangan kakitangan menyebabkan pusat jagaan itu tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi untuk menguruskan keperluan harian kanak-kanak terbabit. - AFP