Malaysia antara empat negara disekat terima pelayan AI Nvidia

Iklan
Malaysia turut terkesan 'perang cip' antara AS-China. - Foto Agensi

SAN FRANCISCO - Gergasi teknologi Amerika Syarikat, Nvidia dilaporkan menyekat penghantaran pelayan komputer berkuasa cip kecerdasan buatan (AI) ke empat negara Asia Tenggara.

Financial Times (FT) memetik tiga sumber rapat pada Khamis melaporkan, Nvidia mengarahkan rakan pengeluar menghentikan penghantaran pelayan kepada pembeli di Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, belum jelas sama ada sekatan itu bersifat sementara atau kekal.

Menurut laporan itu, arahan tersebut membabitkan rakan pengeluar Nvidia dan dibuat ketika Washington memperketat kawalan eksport terhadap komponen berteknologi tinggi susulan skandal pengintipan yang turut menjejaskan imej firma itu.

Iklan

Dua syarikat Dell dan Supermicro yang memasang cip AI Nvidia ke dalam pelayan untuk pusat data antara rakan pengeluar yang terkesan dengan arahan tersebut.

Sejak 2022, AS mengehadkan eksport cip kecerdasan buatan (AI) canggih Nvidia ke China atas alasan keselamatan negara. Cip berkenaan digunakan untuk melatih dan mengendalikan pelbagai sistem AI.

Iklan

Minggu lalu, Washington turut mengambil langkah menutup ruang yang digunakan untuk mengelak sekatan berkenaan bagi membendung penyeludupan cip dan 'pasaran kelabu' yang membolehkan syarikat Beijing menyewa kuasa pengkomputeran daripada pusat data di negara ketiga termasuk di Asia Tenggara.

Laporan itu turut menyenaraikan Aolani, sebuah syarikat pengkomputeran awan yang berpusat di Singapura sebagai antara pembeli yang terjejas.

Sebelum ini, firma tersebut merancang menyewakan akses kepada perkakasan Nvidia kepada ByteDance, syarikat teknologi China yang memiliki TikTok.

Seorang eksekutif penyedia perkhidmatan awan memberitahu FT, peraturan baharu Washington mencetuskan 'kekacauan besar' di rantau berkenaan ketika tempoh 90 hari diberikan kepada syarikat untuk memohon lesen baharu.

Perkembangan itu berlaku ketika Nvidia turut berdepan skandal pengintipan susulan laporan mengenai hubungan Jensen Huang dengan Alice Huang, bekas eksekutif Megaspeed, sebuah syarikat berpusat di Singapura yang sedang disiasat kerana didakwa memindahkan cip Nvidia ke China bagi mengelak peraturan AS.

Pada masa sama, Asia Tenggara terus menyaksikan perkembangan pesat sektor pusat data susulan pelaburan besar oleh syarikat teknologi dari AS dan China.

Firma perkhidmatan profesional antarabangsa, KPMG mengunjurkan kapasiti pusat data di rantau itu meningkat tiga kali ganda menjelang 2030 berbanding 2025, seiring unjuran peningkatan penggunaan AI sehingga 10 kali ganda. - AFP