SHAH ALAM - Kecintaan mendalam kepada ALLAH SWT, al-Quran dan Rasulullah SAW menjadi antara sifat istimewa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff yang meninggal dunia pada Ahad.
Pengasas Institut Bayyinah dari Amerika Syarikat (AS), Nouman Ali Khan menerusi hantaran di Facebook mengenang Allahyarham sebagai insan istimewa yang menzahirkan kecintaan itu menerusi kebaikan dan keikhlasan sepanjang kehidupannya.
Katanya, sifat sabar, pemurah, prihatin, rendah hati dan dedikasi yang dimiliki Allahyarham menjadikannya insan yang begitu berharga kepada mereka yang mengenalinya.
"Dalam kehidupan ini, kita akan bertemu dengan insan yang benar-benar menzahirkan kecintaan kepada ALLAH, kitab-Nya dan rasul-Nya. Kak Marhaini ialah salah seorang insan istimewa yang begitu berharga ini.
"Kebaikan yang dilakukannya dan keikhlasannya dalam menyebarkan kebaikan dapat dirasai tanpa perlu beliau mengucapkan sepatah kata pun.
Terdahulu, Marhaini, 56, dilapor meninggal dunia pada jam 8.44 pagi akibat komplikasi jantung dan kegagalan organ dalaman.
Anak Allahyarham, Sarah Ambok memaklumkan, ibunya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam selepas mendapat rawatan sejak Khamis.
Allahyarham memainkan peranan penting dalam menggerakkan kempen #QuranHour di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
Beliau antara individu yang giat memperjuangkan usaha membudayakan interaksi dengan al-Quran menerusi kempen World #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan pelbagai inisiatif berkaitan.
Nouman yang banyak bekerjasama dengan Marhaini dalam gerakan kempen #QuranHour turut mengenang cara Allahyarham menangani perbezaan pendapat dengan penuh kasih sayang, kesabaran dan empati sehingga mampu menyentuh hati orang lain.
Walaupun berbeza pendapat, katanya, Allahyarham sentiasa mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan pandangannya.
"Saya akan sentiasa menghargai segala kebaikan yang telah dicurahkannya kepada saya selama ini. Saya mahupun (Institut) Bayyinah tidak mungkin dapat memainkan peranan seperti yang kami lakukan di Malaysia tanpa sumbangan beliau.
"Beliau bukan sekadar insan yang menyokong usaha saya, tetapi merupakan sumber inspirasi saya,” ujarnya
Nouman menambah, Allahyarham juga tetap mengambil berat tentang usaha melakukan kebaikan walaupun ketika menjalani rawatan dialisis dan baru sahaja selesai menjalani pembedahan.
Malah, katanya, ketika berkomunikasi, arwah juga tidak pernah memperlihatkan betapa peritnya kesakitan yang ditanggung apatah lagi mengeluh.
"Beliau bukan sekadar mengucapkan alhamdulillah, malah memperlihatkan kepada saya dan semua orang di sekelilingnya makna sebenar menghayati ungkapan itu dalam kehidupan seharian. Beliau benar-benar seorang insan yang menjadi inspirasi.
"Malaysia tidak akan sama lagi tanpamu, kakakku yang dikasihi. Bagi saya, beliau bukan sekadar seorang kakak, malah juga mentor, sumber kebijaksanaan, insan yang memberikan pandangan bernas, penasihat yang ikhlas dan seseorang yang sentiasa boleh saya harapkan ketika menghadapi kesusahan," luahnya.
Kata Nouman, segala ujian dan keadaan sukar yang dilalui Allahyarham hanya menzahirkan sifat-sifat terindah dalam diri wanita yang begitu disayanginya itu.
"Semoga ALLAH mengampuni segala dosanya dan melipatgandakan ganjaran atas setiap kebaikan yang dilakukannya sepanjang hayat, serta kebahagiaan yang dibawanya kepada setiap insan yang berada di sekelilingnya.
“Malaysia tidak akan sama lagi tanpamu, kakakku yang dikasihi. Namamu akan sentiasa dalam doa kami, insan kesayangan kami,” ujarnya.