PETALING JAYA -"Jangan matikan dakwah, dunia bukan tempat kita berehat".
Demikian antara amanat terakhir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusof kepada anak-anak, keluarga dan warga kerja WUIF sebelum meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan kegagalan fungsi pelbagai organ dalaman pada Ahad.
Anak Allahyarham, Siti Sarah Ambok Dalek, 28, berkata, arwah meminta keluarganya untuk tetap meneruskan dakwah yang telah diperjuangkan selama ini.
“Dia kata jangan matikan dakwah itu. Kita kena teruskan juga walaupun Ummi tak ada, kena ada orang yang wakilkan Ummi.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Allahyarham Marhaini Yusof meninggal dunia pada jam 8.44 pagi di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sungai selepas mendapat rawatan sejak Khamis.
Siti Sarah yang juga Eksekutif Pengurusan Acara WUIF memaklumkan, Allahyarham sempat meluahkan rasa seolah-olah pemergiannya semakin hampir kerana terpaksa menanggung kesakitan disebabkan serangan jantung sehari sebelum dimasukkan ke wad.
Tambahnya, bacaan degupan jantung terlalu tinggi dan penurunan tekanan darah ibunya secara mendadak semasa mendapatkan rawatan amat mencemaskan seluruh ahli keluarga.
“Ummi rasa ini kali 'last'. Ummi rasa macam sakit sangat,” ujarnya pilu.
Siti Sarah turut berkongsi, arwah sempat mencipta lagu ringkas dengan titipan mesej terakhir sebagai kenangan untuk anak dan cucu-cucunya.