Tiada keperluan mendesak bawa keluar pelajar Malaysia di Arab Saudi - Zambry

Iklan
Zambry

LUMUT - Tiada keperluan mendesak untuk membawa keluar pelajar Malaysia setakat ini, namun pemantauan rapi dilakukan susulan insiden serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Arab Saudi, semalam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pemantauan dilakukan di beberapa kawasan, khususnya Madinah dan Makkah bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh menjejaskan keselamatan nyawa.

Iklan
Iklan

"Krisis di Timur Tengah ini telah berlanjutan sejak tujuh bulan lepas. Buat masa ini, tiada keperluan untuk evakuasi, namun kita akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar untuk mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Bantuan Pendidikan Bersasar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan Mohd Anwar, TVETMARA, di sini hari ini.

Iklan

Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi memaklumkan bahawa 12 orang terkorban, manakala 309 lagi cedera dalam serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid pada Sabtu.

Empat warga Arab Saudi, dua rakyat Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat (AS), Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan terkorban dalam serangan itu.

Iklan

Mengulas tentang program hari ini, Zambry berkata, sebanyak RM200,000 diperuntukkan kepada 400 pelajar IPT terpilih dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah bagi mengurangkan kos perbelanjaan pengajian.

Beliau berkata, bantuan yang disalurkan menerusi Education Malaysia Global Services (EMGS) itu melibatkan pelajar di universiti awam, Institut Pendidikan Guru (IPG), kolej matrikulasi, politeknik dan sebagainya.

"Setiap pelajar menerima RM500 yang diagihkan secara berperingkat bagi memastikan bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengurus hal-hal berkaitan pengajian masing-masing,” katanya.

Zambry berharap bantuan yang disalurkan itu akan digunakan sebaik-baiknya bagi memastikan kelancaran pengajian mereka serta meringankan beban kewangan keluarga, terutamanya yang mempunyai ramai ahli keluarga. - Bernama