IPOH - Bagi bekas jurutera, Ahmad Zailani Darwis, 59, perkakas elektrik yang rosak bukan semestinya barang buangan, sebaliknya ibarat teka-teki yang menunggu untuk diselesaikan.
“Jangan buang, hantar pada saya. Saya cuba baiki,” katanya kepada mereka yang hampir mengambil keputusan untuk membuang perkakas elektrik dan elektronik yang rosak.
Menurutnya, ada kalanya hanya satu komponen kecil yang bermasalah dan dengan sedikit kemahiran serta kesabaran, perkakas berkenaan masih boleh digunakan semula.
Di sebuah kedai kecil di Lot Barang Lusuh Pasar Besar Ipoh, Ahmad Zailani menghabiskan masa membaiki pelbagai peralatan termasuk kipas, periuk nasi, pengisar, jam, televisyen dan radio.
Menariknya, kegiatan itu bukan bermula dengan hasrat membina perniagaan besar, sebaliknya lahir daripada minat mendalam terhadap kerja membaiki barangan elektrik sejak sekian lama.
“Ini sebenarnya hobi. Saya memang minat membaiki barang. Bila kita ada asas peralatan elektrik dan elektronik, banyak benda kita boleh cuba baiki.
“Bagi saya, setiap barang rosak itu macam teka-teki. Kita kena fikir, cari apa masalahnya dan bagaimana hendak selesaikan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Lulusan bidang Elektrikal dan Elektronik dari sebuah universiti di London itu pernah berkhidmat sebagai jurutera Telekom Malaysia dan Ketua Jurutera Marconi Malaysia.
Beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor, selain dilantik sebagai perunding kejuruteraan kepada PLUS berikutan kepakarannya dalam bidang gentian optik ketika teknologi berkenaan masih baharu sekitar awal 1990-an.
Selepas bersara, datuk kepada lima cucu itu memilih untuk terus mengasah kemahiran dan menggerakkan minda melalui kegiatan yang diminatinya.
Bagaimanapun, kepulangannya ke Ipoh kira-kira dua tahun lalu bukan semata-mata untuk menikmati kehidupan selepas bersara.
Ahmad Zailani sebenarnya kembali ke kampung halaman di Batu 6, Tambun untuk menjaga ibunya yang berusia 81 tahun dan kurang sihat.
Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, beliau mencari ruang meneruskan hobinya sehingga akhirnya membuka kedai kecil berkenaan.
Bagi perkhidmatannya, caj membaiki periuk nasi biasanya antara RM10 hingga RM50, kipas RM10 hingga RM40, pengisar sehingga RM50 manakala jam dinding sekitar RM20, bergantung kepada jenis kerosakan.
Antara perkakas yang paling diingatinya ialah sebuah kipas lama keluaran sekitar 1960-an yang pernah dihantar ke beberapa kedai, namun gagal dibaiki.
Katanya, cabaran terbesar membaiki perkakas lama ialah mendapatkan alat ganti, terutama apabila komponen asal tidak lagi dikeluarkan.
Ada kalanya, alat ganti perlu ditempah dari luar negara dan mengambil masa sehingga sebulan untuk tiba, malah tidak semuanya menepati spesifikasi yang diperlukan.
“Bukan semua benda saya boleh baiki. Kalau alat ganti memang sudah tidak ada, saya akan beritahu pelanggan barang itu memang tidak boleh dibuat,” katanya.
Sepanjang dua tahun menjalankan perkhidmatan itu, Ahmad Zailani bersyukur kerana semakin mendapat kepercayaan pelanggan, termasuk mereka yang datang dari luar Perak.
“Alhamdulillah, apabila pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja saya, mereka turut membantu mempromosikan kedai ini dari mulut ke mulut. Itu antara perkara yang banyak membantu memperkenalkan kedai saya kepada pelanggan baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zailani berharap masyarakat tidak terlalu mudah membuang perkakas elektrik dan elektronik yang rosak kerana tindakan berkenaan boleh menambah jumlah sisa elektronik atau e-waste.
Katanya, perkakas tersebut juga tidak sepatutnya dibakar atau dibongkar sesuka hati kerana sesetengah komponennya mengandungi bahan yang boleh memudaratkan alam sekitar.
“Sebuah perkakas rosak mungkin kelihatan tidak bernilai bagi sesetengah orang, tetapi bagi saya, selagi masih ada jalan untuk baikinya, jangan cepat membuang. Beri peluang kedua,” ujarnya.
INFO
ROSAK BOLEH BAIKI, BERAPA CAJ?
RM10 – RM50 — Periuk nasi
RM10 – RM40 — Kipas
Sehingga RM50 — Pengisar
Sekitar RM20 — Jam dinding
*Caj bergantung kepada jenis dan tahap kerosakan.