IPOH - Peningkatan peruntukan dan pengenalan pelbagai inisiatif baharu menerusi Belanjawan Negeri Perak 2027 mendapat sambutan positif daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya dalam aspek kebajikan, pendidikan, pembangunan ummah dan keusahawanan.
Belanjawan berjumlah RM1.69 bilion yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Selasa itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha meringankan beban rakyat, malah membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abd Halim berkata, peningkatan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada RM133.8 juta bagi jabatan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan ummah.
"Peruntukan itu diperkukuh dengan dana RM254.3 juta daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi pengagihan zakat dan wakaf, sekali gus memperkasakan institusi masjid dan pendidikan Islam sebagai pusat kecemerlangan ilmu serta penyatuan komuniti.
"Saya menyambut baik peningkatan peruntukan ini kerana kemajuan negeri bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi perlu diseimbangkan dengan pengukuhan nilai, ilmu dan akhlak masyarakat," katanya.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, Belanjawan Negeri Perak 2027 bertemakan 'Perak Makmur, Rakyat Sejahtera: Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina' mencipta sejarah sebagai belanjawan terbesar pernah dibentangkan kerajaan negeri.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan bagi Belanja Mengurus manakala RM593 juta bagi Belanja Pembangunan.
Penghargaan kepada penggerak institusi masjid
Sementara itu, Imam Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan menyifatkan pengenalan Anugerah Mengerjakan Haji dengan peruntukan RM500,000 sebagai penghargaan bermakna kepada imam, bilal, siak serta Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk yang layak.
Katanya, tugas imam bukan sekadar mengimamkan solat, malah merangkumi tanggungjawab menyantuni jemaah, mengimarahkan masjid, menguruskan hal ehwal masyarakat serta menjadi tempat rujukan penduduk setempat.
"Inisiatif baharu itu pastinya memberi satu suntikan semangat dan penghargaan kepada mereka yang telah lama berkhidmat selain mendorong lebih ramai masyarakat mengambil peranan dalam institusi masjid," jelasnya.
Ahli Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak, Mohamad Nazrin Abdul Nasir pula menyambut baik peningkatan peruntukan bagi kerja baik pulih dan pembinaan masjid serta surau daripada RM15 juta kepada RM18 juta.
Bagaimanapun, beliau berharap pengagihan dana mengambil kira keperluan sebenar setiap institusi, selain proses permohonan dipermudah dan pelaksanaan kerja dipantau rapi bagi menjamin kualiti.
"Keperluan setiap masjid dan surau berbeza (kerana) ada yang memerlukan pembaikan bumbung, pendawaian elektrik dan struktur bangunan, manakala lain pula memerlukan penambahbaikan tandas, tempat wuduk serta kemudahan mesra warga emas dan OKU," ujarnya.
Menurutnya, pembangunan institusi masjid juga perlu bergerak seiring dengan pengukuhan pengurusan, pendigitalan pentadbiran serta pelaksanaan program pengimarahan yang mampu menarik penyertaan generasi muda.
Ringankan beban rakyat, perkasa pendidikan
Dalam aspek kebajikan penjawat awam, Qistina Izfarina Ahmad Fahmi, 33, menyifatkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji sebagai sokongan tambahan bagi memenuhi keperluan keluarga dan mengukuhkan kedudukan kewangan.
Katanya, Jika tahun lalu bantuan itu digunakan untuk menampung sebahagian kos membawa keluarga mengerjakan umrah, namun kali ini dia bercadang menyimpannya sebagai dana kecemasan.
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak, Mohamad Faizal Haramaini pula menyifatkan inisiatif pendidikan menerusi belanjawan itu sebagai pendekatan menyeluruh dalam membantu anak negeri dari peringkat persekolahan hingga pengajian tinggi.
"Kita tidak mahu kemiskinan keluarga dan kekangan kewangan menjadi penghalang kepada anak-anak Perak untuk hadir ke sekolah (hingga) menyebabkan mereka tercicir atau tidak dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," jelasnya.
Beliau berkata, peruntukan RM16.1 juta bagi pendidikan tinggi serta bantuan makanan percuma kepada pelajar miskin dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mampu meringankan beban keluarga, sekali gus membolehkan pelajar memberi tumpuan kepada pembelajaran.
Dalam pada itu, bakal pengantin, Roselina Zahari, 30, menyambut gembira pengenalan Kursus Pra Perkahwinan Islam Percuma menerusi inisiatif Menuju Cinta Sakinah yang bakal memanfaatkan 3,000 pasangan dengan peruntukan RM300,000.
Menurutnya, inisiatif itu tepat pada masanya memandangkan dia dan pasangan merancang untuk berkahwin tahun depan, sekali gus dapat mengurangkan kos persediaan perkahwinan.
"Saya harap program itu diteruskan secara konsisten dan diperluaskan supaya manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai bakal pengantin di seluruh Perak," katanya.
Kelestarian alam sekitar perlu diberi perhatian
Dalam aspek alam sekitar, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman menyambut baik peningkatan peruntukan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak, namun menegaskan langkah itu perlu disokong dasar pembangunan mesra alam.
Jelas Meor Razak, keberkesanan peruntukan itu bergantung kepada perincian penggunaannya khususnya dalam memastikan pembangunan tidak menjejaskan usaha pemuliharaan hutan dan habitat hidupan liar.
"Kita mahu perbelanjaan pembangunan benar-benar menyokong kelestarian habitat dan hidupan liar.
"Contohnya ketika ini isu gangguan habitat menjadi antara punca konflik manusia dan hidupan liar apabila haiwan seperti gajah serta harimau memasuki kawasan penempatan (dan) ini pastinya akan meningkatkan kos konservasi dan perlindungan," katanya.
Buka peluang usahawan tembusi pasaran global
Dalam sektor keusahawanan pula, pengusaha Hit Barber Bus, Muhammad Naufal Aizat Saiful Faizal, 27, berkata, peruntukan RM4.29 juta kepada Sekretariat Usahawan Perak (STeP), termasuk Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK dan GeRAK+) disifatkan sebagai sokongan penting kepada usahawan tempatan.
"Sokongan kerajaan bukan sahaja membantu meningkatkan keupayaan dan daya saing usahawan kecil, malah menjadi pemangkin untuk kami mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi termasuk menembusi pasaran global," katanya.
Beliau turut menyambut baik peruntukan RM2 juta bagi Tabung Usahawan di bawah Yayasan Perak dan berharap sokongan berterusan kerajaan negeri dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan muda untuk membina perniagaan mampan.