Perak rekod 171 kes bunuh diri dalam tempoh 18 bulan

Iklan
Sivanesan ketika menjawab soalan M Thulsi Thivani (PH-Buntong) dalam Sidang DUN Perak pada Rabu.

POH - Perak merekodkan 171 kes bunuh diri dalam tempoh Januari 2025 hingga Jun lalu sekali gus antara empat negeri dan wilayah tertinggi mencatatkan kes berkenaan selepas Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 125 kes dilaporkan sepanjang 2025 manakala 46 kes lagi direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, isu itu merupakan antara cabaran kesihatan awam yang memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi aspek pencegahan, pengesanan awal, intervensi, rawatan dan sokongan psikososial secara berterusan.

"Kerajaan negeri memandang serius isu kesihatan mental khususnya kecenderungan membunuh diri dalam kalangan remaja dan sedang merangka dasar bagi menangani masalah berkenaan secara lebih menyeluruh.

Iklan

"Perbincangan bersama agensi berkaitan termasuk PDRM, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah dimulakan bagi menyediakan kertas dasar untuk dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan M Thulsi Thivani (PH-Buntong) semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Iklan

Sivanesan memberitahu, Perak masih memerlukan penambahan pakar psikiatri bagi menampung peningkatan jumlah pesakit serta keperluan rawatan susulan.

Katanya, Perak kini mempunyai 45 pakar psikiatri di hospital dengan nisbah seorang pakar bagi setiap 49,517 penduduk, berbanding sasaran seorang pakar bagi setiap 40,000 penduduk.

"Perak juga mempunyai tiga pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja yang masing-masing ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Taiping, manakala Hospital Teluk Intan masih belum mempunyai pakar dalam bidang berkenaan," ujar beliau.

Sementara itu, sidang Dewan turut dimaklumkan, data Saringan Minda Sihat bagi tempoh 2024 hingga 2026 merekodkan 748 kes pemikiran mencederakan diri, 758 kes kebimbangan dan 894 kes kemurungan dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negeri ini.

Di peringkat sekolah rendah pula, sebanyak 1,305 saringan berkaitan kemurungan dan 1,297 saringan berkaitan kebimbangan direkodkan dalam tempoh sama.

Dapatan itu menunjukkan keperluan memperkukuh usaha pengesanan awal, intervensi dan sokongan kesihatan mental dalam kalangan murid sejak di bangku sekolah rendah.