IPOH - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria memuji prestasi kewangan kerajaan negeri yang berjaya merekodkan lebihan (surplus) selama empat tahun berturut-turut sejak 2022.
Beliau berkata, pencapaian itu wajar diberikan pengiktirafan apabila kerajaan negeri berjaya mencatatkan pendapatan melebihi unjuran yang ditetapkan dalam tempoh berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan data diberikan, Perak merekodkan lebihan sebanyak RM29.6 juta pada 2022, RM62.4 juta (2023), RM45.6 juta (2024) dan RM87 juta pada 2025.
"Jumlah terkumpul yang diuar-uarkan kepada kita ini adalah lebih RM225 juta. Nak berduka atau nak berbangga itu terpulanglah kepada kita. Apa pun tahniah dan syabas," katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2027 dalam Sidang DUN Perak di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, beliau berharap lebihan hasil tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya menerusi pelaksanaan program dan pembangunan yang mampu meningkatkan kesejahteraan serta mengurangkan beban kehidupan rakyat.
"Cuma kita harapkan lebihan hasil ini dimanfaatkan. Kita tidak mahu ia tidak nampak digunakan ke mana," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu turut mencadangkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha mengoptimumkan hasil bumi dan menarik lebih banyak pelaburan bagi meningkatkan sumber pendapatan negeri.
Katanya, Perak mempunyai kekayaan sumber mineral yang berpotensi menjana pulangan lebih tinggi sekiranya diuruskan secara optimum, termasuk melalui kajian semula kadar royalti mineral.
Beliau merujuk Laporan Ketua Audit Negara yang merekodkan kutipan royalti mineral sebanyak RM410.8 juta bagi tempoh 2023 hingga 2025, melibatkan pengeluaran sebanyak 99.67 juta metrik tan.
"Saya cadangkan kepada rakan-rakan saya yang mungkin berada dalam Exco untuk kaji semula royalti ini supaya pulangan yang diterima setimpal dan seterusnya dapat dimanfaatkan untuk mengurangkan beban rakyat," katanya.
Razman turut menarik perhatian sidang Dewan terhadap jurang pendapatan pekerja di Perak berbanding peringkat nasional.
Beliau berkata, berdasarkan pelaporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi pekerja sektor formal warganegara pada 2026, penengah (median) upah bulanan di Perak direkodkan pada RM2,300 berbanding RM3,000 di peringkat nasional.
Menurutnya, perbezaan itu memberi kesan kepada kemampuan rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup selain mendorong penghijrahan tenaga kerja tempatan ke negeri lain untuk mendapatkan pendapatan lebih baik.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan negeri memastikan pelaburan baharu yang dibawa masuk turut menyediakan peluang pekerjaan dengan tawaran gaji lebih baik, selain memberi penekanan kepada pemindahan teknologi dan pembangunan kemahiran anak tempatan.
Pihaknya turut mencadangkan kerajaan negeri memperluaskan kerjasama dengan majikan tempatan bagi menggalakkan pelaksanaan dasar gaji progresif supaya jurang pendapatan pekerja Perak dengan peringkat nasional dapat dirapatkan.