Belanjawan 2027: Gaji minimum RM2,000 bantu ahli KWSP miliki simpanan persaraan lebih baik

Iklan
Ahmad Zulqarnain. FOTO FAIL SINAR HARIAN.

KWASA DAMANSARA - Pengumuman kenaikan kadar gaji minimum kepada RM2,000 dilihat langkah reformasi penting terhadap pasaran tenaga kerja yang bukan hanya meningkatkan kesejahteraan, tetapi juga menyokong kecukupan simpanan persaraan lebih baik buat pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pendekatan itu ke arah memastikan pekerja menerima bahagian yang lebih adil daripada hasil pertumbuhan ekonomi negara selain manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati bersama.

Iklan
Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2027: Warganegara capai usia 18 tahun didaftar automatik sebagai ahli KWSP

"Inisiatif Belanjawan 2027 jelas mengukuhkan aspirasi Ekonomi Madani untuk membina ekonomi yang lebih makmur, inklusif dan berpaksikan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Ahmad Zulqarnain berpandangan, Belanjawan 2027 juga dilihat memperluaskan akses kepada simpanan persaraan lebih awal melalui pendaftaran warganegara secara automatik sebagai ahli KWSP sebaik sahaja mencapai usia 18 tahun.

Tambahnya, Program i-Saraan Plus bagi pemandu e-hailing dan p-hailing turut diteruskan menerusi belanjawan tahun hadapan.

Iklan

"Selain itu, pemandu yang layak boleh menerima insentif padanan kerajaan sebanyak 20 peratus.

"Ia tertakluk kepada had maksimum RM600 setahun dan RM6,000 sepanjang hayat sehingga mencapai umur persaraan minimum negara," ujarnya.

Bagi memperkukuh pendapatan persaraan dan kesejahteraan pada usia lanjut, KWSP terus menggalakkan ahli merancang penggunaan simpanan mereka selepas bersara.

Melalui i-Emas, ahli boleh memilih bayaran bulanan bagi Pengeluaran Umur 55 dan 60 tahun sebagai alternatif kepada pengeluaran secara penuh.

Baki simpanan yang kekal dalam KWSP akan terus menerima dividen tahunan, sekali gus membantu simpanan bertahan lebih lama sebagai sumber pendapatan selepas persaraan.