Belanjawan 2027 perlu imbangkan struktur ekonomi

Iklan
Peruntukan Belanjawan 2027 menyokong usaha memperkukuh penyelenggaraan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat. Gambar kecil: Muhammed

BELANJAWAN 2027 mampu meringankan beban kewangan rakyat dalam jangka pendek, namun masih gagal menangani masalah struktur ekonomi negara, khususnya kedudukan kewangan negara, subsidi bahan api, peluang pekerjaan berkualiti dan pelaburan pembangunan masa depan.

Pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, peningkatan bantuan tunai, gaji minimum, pelepasan cukai adalah inisiatif yang baik dan mampu memberikan kelegaan kepada rakyat, tetapi pada masa yang sama, ada beberapa polisi yang tidak mampan, terutamanya pengagihan bantuan yang tidak bersasar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, subsidi bahan api yang menelan belanja besar antara ketidakcekapan pengagihan apabila golongan berpendapatan tinggi menikmati manfaat lebih besar berbanding kumpulan yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Kita sudah tidak ada duit dan hutang pun tinggi, tetapi kita bagi duit kepada orang yang tidak memerlukan.

Iklan

“Bajet subsidi minyak tahun ini dan tahun depan melebihi RM80 bilion, angka yang amat besar. Ia membazir dan harus diubah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau turut mempersoalkan pemberian kredit tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Madani RM200 kepada semua rakyat, termasuk menteri dan jutawan, sedangkan peruntukan berjumlah RM3.6 bilion itu boleh dimanfaatkan dengan lebih berkesan jika disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah.

Iklan

Muhammed berkata, kerajaan juga tidak seharusnya terus bergantung kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menampung peningkatan kos subsidi.

Sebaliknya, mekanisme bantuan perlu dikaji semula bagi mengelakkan pembaziran wang awam.

“Jika kita potong 20 peratus subsidi kepada orang kaya, kita boleh jimat lebih kurang RM17 bilion. Tidak perlu minta lebih daripada Petronas ataupun tambah hutang negara.

“Pengambilan dividen dari keuntungan Petronas oleh kerajaan dilihat semakin meningkat, daripada kira-kira 38 peratus pada tahun 2024 kepada sekitar 60 peratus tahun ini.

“Daripada RM1 pendapatan negara, hampir 99 sen digunakan untuk perbelanjaan mengurus, kita berhutang hampir sepenuhnya untuk perbelanjaan pembangunan,” katanya.

Wujud kasta gaji minimum RM2,000

Felo Penyelidikan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, walaupun peningkatan gaji minimum RM2,000 itu baik, namun pelaksanaanya berisiko mewujudkan ketidaksamaan dalam kalangan pekerja apabila kelayakan ditentukan berdasarkan hasil jualan syarikat melebihi RM50 juta.

Menurutnya, manfaat sebenar dasar itu hanya melibatkan kira-kira 800,000 pekerja, jauh lebih rendah berbanding empat juta yang disebut ketika pembentangan Belanjawan 2027.

Beliau berkata, keadaan itu mewujudkan jurang antara pekerja yang melakukan pekerjaan sama, sedangkan kenaikan gaji sepatutnya meningkatkan taraf hidup secara menyeluruh.

“Pertama kali dalam sejarah gaji minimum kita berpecah. Sebagai contoh, pekerja pembersihan di sebuah bank akan dapat RM2,000, tetapi pekerja pembersihan di kilang saiz sederhana masih RM1,700.

“Kita telah mewujudkan satu kasta antara pekerja yang mana ini tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Muhammed yang juga merupakan Felo di World Inequality Lab di Paris School of Economics menegaskan bantuan tunai dan kenaikan gaji sahaja tidak mencukupi untuk menangani kos sara hidup sekiranya harga barang meningkat lebih pantas daripada pendapatan.

Katanya, antara 2019 hingga 2025, gaji meningkat tujuh peratus, sedangkan in asi naik sembilan peratus dan harga makanan meningkat 17 peratus.

“Isunya adalah kuasa beli. Apabila gaji naik dan harga barang naik lebih tinggi, poket rakyat semakin berlubang. Bagi golongan susah, sebahagian besar pendapatan dibelanjakan untuk makanan,” katanya.

Justeru, kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lebih baik bagi meningkatkan kuasa beli rakyat, selain menangani masalah pekerja berkelayakan tinggi yang bekerja di bawah tahap kelayakan mereka.

Kaji semula keutamaan perbelanjaan negara

Dalam sektor perumahan, Muhammed mempersoalkan ketiadaan peruntukan yang mencukupi bagi projek perumahan mampu milik Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dalam beberapa tahun kebelakangan ini, meskipun Belanjawan 2027 menyediakan insentif untuk mengurangkan kos permulaan pembelian rumah.

Menurutnya, pengurangan kos transaksi sahaja tidak mencukupi sekiranya harga hartanah terus meningkat.

“Daripada mengurangkan kos transaksi, bukankah lebih baik mengurangkan kos rumah dengan menyediakan rumah mampu milik? Apabila harga rumah tinggi, pembeli masih perlu membayar harga yang tinggi walaupun kos permulaan dikurangkan,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan mengutamakan perbelanjaan pembangunan sektor pendidikan dan kesihatan yang menjadi pelaburan penting untuk masa depan negara.

Katanya, peruntukan pembangunan pendidikan dipotong RM800 juta, manakala peruntukan pembangunan kesihatan hanya meningkat RM5 juta berbanding tahun sebelumnya.

Keadaan itu membimbangkan ketika negara berdepan kesesakan sekolah, kemerosotan prestasi pendidikan serta kekurangan doktor dan kemudahan hospital.

Dalam sektor pelaburan bernilai tinggi, beliau mencadangkan supaya kelulusan baharu pusat data dihentikan sementara bagi membolehkan kajian menyeluruh dibuat terhadap penggunaan tenaga, kesan alam sekitar dan sumbangannya kepada peluang pekerjaan.

Menurutnya, nilai pelaburan yang tinggi tidak semestinya menjana banyak pekerjaan atau menjamin gaji lebih baik kepada rakyat tempatan.

“Sudah tiba masa kita turut melaksanakan moratorium untuk mengkaji semula perkara ini kerana permintaan tenaga dan bekalan air bagi pusat data agak besar dan boleh menjejaskan penggunaan sektor lain,” katanya.

Muhammed berkata, kejayaan Belanjawan 2027 perlu diukur berdasarkan peningkatan kuasa beli rakyat dan mobiliti sosial, penurunan kadar kemiskinan dan jurang antara kaya dan miskin, pertumbuhan ekonomi yang menjana pekerjaan berkualiti serta pengurangan beban hutang kerajaan.

“Kita perlu memastikan perbelanjaan negara benar-benar membantu golongan yang memerlukan dan pada masa yang sama memberi tumpuan kepada pelaburan dan bergaji lebih baik bagi meningkatkan masa depan,” katanya.