Kes bunuh Irene Sofiya: Polis rampas batang besi, dendam cinta ditolak dipercayai motif

Iklan
Tempoh reman pelajar lelaki Tingkatan Empat yang disyaki terlibat kes bunuh Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, dekat sini Sabtu lalu, disambung enam hari.

JOHOR BAHRU - Polis percaya perasaan dendam termasuk berkaitan penolakan cinta antara motif pembunuhan pelajar perempuan Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata bagaimanapun, motif berkenaan masih diperhalusi menerusi siasatan yang sedang dijalankan.

Iklan
Iklan

"Polis percaya motif pembunuhan adalah akibat perasaan dendam suspek terhadap mangsa termasuk berkaitan penolakan cinta suspek dan menjalinkan hubungan dengan kawan baik sendiri.

"Bagaimanapun, perkara ini akan diperhalusi dalam siasatan yang masih dijalankan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata suspek lelaki berusia 16 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan merupakan rakan sekelas mangsa dan setakat ini tiada individu lain dikenal pasti terlibat.

ARTIKEL BERKAITAN:Pelajar ditemui maut di sekolah disyaki dibunuh

Iklan

Pelajar maut di sekolah: Nenek lihat Fiya terkulai, berlumuran darah dalam dewan sekolah

Pelajar maut di sekolah: 'Fiya nak jadi doktor macam arwah ibu' - Ibu saudara

Pelajar maut di sekolah: Tiada kompromi terhadap buli, jenayah di sekolah - Exco

Pelajar maut dibunuh: 'Irene Sofia pelajar cemerlang, harapan 9A di sekolah' - Rakan

Pelajar maut dibunuh: 3 pelajar lelaki ditahan, seorang direman pagi ini

Irene Sofiya maut dibunuh: Pelajar lelaki direman enam hari

Kes bunuh Irene Sofiya: Pelajar lelaki Tingkatan 4 disambung reman 6 hari

Ab Rahaman berkata sepanjang siasatan dari 4 hingga 8 Okt, polis membuat beberapa siri rampasan dan penemuan barang kes di sekitar Yong Peng, termasuk sebatang besi sepanjang kira-kira 96 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

Katanya, batang besi itu dibaluti tali leher berwarna biru pada bahagian hujung, dipercayai dijadikan sebagai pemegang untuk memukul mangsa.

"Berdasarkan laporan bedah siasat, kita percaya pukulan mengenai bahagian kepala, tetapi terdapat juga kesan pukulan pada badan, tangan dan beberapa anggota tubuh mangsa," katanya.

Beliau berkata polis juga percaya berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek berdasarkan keadaan di lokasi kejadian yang menemukan meja dan kerusi terbalik selain sebuah pasu pecah, serta terdapat kesan menunjukkan mangsa cuba mempertahankan diri.

Bagaimanapun, katanya siasatan setakat ini tidak menjurus kepada pasu berkenaan digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.

Selain batang besi, antara barang kes dirampas ialah iPhone 13 Pro, baju jersi Mizuno, seluar panjang hitam, sepasang selipar Adidas, satu set dekoder jenama Alhua Technology, seluar sukan berwarna hitam serta baju sukan putih dan merah bernombor 27 yang mempunyai kesan dipercayai darah.

Polis turut merampas sebuah beg kanvas mengandungi peralatan tulis, beg galas mengandungi buku Matematik Tambahan dan kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tertera nama Irene Sofiya, sepasang cermin mata, anak kunci berlambang Yamaha, botol minuman Owala, tiga helai kertas kehadiran pelajar serta sebuah kalkulator Casio berwarna merah jambu.

Ab Rahaman berkata semua barang kes berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.

Ditanya sama ada terdapat cubaan merogol mangsa dalam kejadian itu, beliau berkata setakat ini siasatan tidak mengesan perkara berkenaan.

Beliau berkata suspek juga setakat ini tidak mempunyai rekod masalah disiplin di sekolah, manakala isu berkaitan keadaan mental remaja berkenaan akan diserahkan kepada mahkamah sekiranya dia didakwa dan perlu dirujuk untuk pemeriksaan psikiatri.

Katanya, siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan hampir lengkap dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor hari ini untuk arahan lanjut.

Pada 3 Oktober lepas, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng kira-kira 5.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia.

Susulan kejadian itu, suspek ditahan reman selama enam hari pada 4 Oktober lepas bagi membantu siasatan dan disambung enam hari lagi bermula esok. - Bernama