KETUA jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz memuji prestasi dan semangat juang anak buahnya selepas mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC, dalam aksi Kumpulan B Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2026/2027 di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Walaupun baru kembali beraksi selepas tempoh rehat aksi antarabangsa yang panjang, Munoz tetap berpuas hati dengan cara pasukannya mengawal permainan.
"Tahniah kepada pemain kerana mereka telah mempamerkan prestasi luar biasa. Selepas berehat panjang tanpa perlawanan, mereka tetap beraksi dengan tenaga, kekuatan dan semangat juang yang sama,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Munoz berkata, keupayaan pasukan mencipta banyak peluang jaringan menjadi kunci kepada kemenangan tersebut, meskipun JDT hanya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.
"Perkara paling penting pemain kita mampu mencipta peluang. Mereka yakin dengan corak permainan sendiri, dan jaringan mula hadir pada separuh masa kedua,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih PKR Svay Rieng FC Matthew Mervyn Mcconkey kecewa dengan kekalahan besar pasukannya, sambil menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima berikutan kesilapan individu yang merugikan pasukan.
"Kami terlalu banyak melakukan kesilapan individu malam ini. Kalah 0-6 sesuatu yang tidak boleh diterima oleh kelab, tidak kira siapa pun lawan yang dihadapi,” katanya.
Beliau mengakui JDT meningkatkan mutu permainan pada separuh masa kedua sedangkan pemainnya mula hilang tumpuan.
"JDT sebenarnya boleh menjaringkan lebih banyak gol pada separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua, mereka bermain dengan jauh lebih baik, sedangkan tahap permainan kami merosot. Apabila kita melakukan kesilapan ketika menentang pasukan yang kuat, mereka pasti akan menghukum kita,” katanya.
Bagaimanapun, Metthew berkata pasukannya akan memperbaiki segala kelemahan dan bekerja lebih keras sebagai persediaan menghadapi perlawanan seterusnya. - Bernama