Bangkit daripada ketinggalan 102 mata, Marquez cipta sejarah

Iklan
Marquez meraikan kejayaannya muncul juara dunia MotoGP buat kali kelapan. Foto: AFP

MARC Marquez sekali lagi membuktikan kehebatan dan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada detik sukar untuk merangkul kejuaraan dunia MotoGP buat kali kelapan pada musim 2026.

Kejayaan itu lebih bermakna apabila pelumba sensasi Sepanyol berkenaan berjaya memadam defisit 102 mata sekali gus mencipta kebangkitan terbesar dalam sejarah MotoGP selepas turut bergelut dengan kecederaan dan menjalani dua pembedahan.

Iklan
Iklan

Lebih manis, Marquez mengesahkan gelaran tersebut di Portugal dengan berbaki satu pusingan sebelum tirai kejuaraan dilabuhkan.

Kejayaan itu menyaksikan pelumba berusia 33 tahun berkenaan menyamai rekod legenda Itali, Giacomo Agostini yang turut memiliki lapan kejuaraan dunia kelas premier selain mengatasi pencapaian bekas musuh tradisinya, Valentino Rossi.

Iklan

Marquez mengakui perjalanan musim ini menuntut perubahan besar dari segi pendekatan dan mentaliti selepas menyedari naluri agresif yang selama ini menjadi kekuatannya tidak lagi mampu digunakan dalam semua keadaan.

"Menakjubkan! Saya perlu tersenyum. Ini musim yang memerlukan saya menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan. Pada awal musim, saya sedar naluri saya tidak lagi berkesan.

Iklan

"Pada satu ketika, saya sendiri merasakan semuanya sudah berakhir. Namun, mereka yang berada di sekeliling saya termasuk pasukan, adik, teman wanita, keluarga dan Ducati tidak pernah berhenti mempercayai saya.

"Mereka sentiasa mengingatkan saya supaya menghabiskan perlumbaan dan peluang saya pasti akan tiba. Itulah yang saya lakukan," katanya.

Sebelum ini, Marquez sudah membuktikan kemampuan memenangi kejuaraan menerusi kepantasan dan kemahiran mengawal jentera di litar.

Namun, musim 2026 menuntut sesuatu yang lebih besar apabila dia perlu membina semula momentum selepas berdepan kecederaan serius sehingga memerlukan dua pembedahan membabitkan bahu dan kaki yang patah.

Malah, selepas tujuh pusingan pertama, juara bertahan itu masih gagal meraih sebarang kemenangan ketika Aprilia mula menunjukkan peningkatan prestasi menerusi dua pencabarnya, Jorge Martin dan Marco Bezzecchi.

Aprilia dilihat memiliki jentera lebih pantas di beberapa litar, namun persaingan dalaman antara Martin dan Bezzecchi turut membuka ruang buat Marque, terutama ketika rakan sepasukannya di Ducati, Francesco Bagnaia bergelut mendapatkan prestasi terbaik.

Nasib Marquez bertambah sukar apabila dia terjatuh dalam perlumbaan pecut Grand Prix (GP) Perancis pada Mei lalu sehingga memerlukan dua pembedahan dan terpaksa melupakan aksi GP Catalan di laman sendiri.

"Sekiranya saya kembali dengan mentaliti mahu memenangi kejuaraan ini, saya mungkin akan mengalami kecederaan sekali lagi," katanya menjelang kemunculan semula pada GP Itali.

Bagaimanapun, Marquez membuktikan kecergasan fizikal dan mentalnya semakin pulih apabila memenangi enam daripada sembilan perlumbaan berikutnya untuk melonjak dalam kedudukan keseluruhan.

Kebangkitan Marquez turut dibantu masalah kecederaan yang menimpa pencabar utamanya apabila Bezzecchi kehilangan kedudukan pendahulu kejuaraan sebelum Aprilia memberikan tumpuan kepada Martin.

Martin yang juga juara dunia 2024 ketika itu berusaha menutup musim terakhirnya bersama Aprilia dengan kejayaan sebelum beralih ke Yamaha pada musim depan.

Namun, Marquez semakin mengukuhkan kedudukan selepas GP Australia bulan lalu manakala Martin pula terpaksa terlepas GP Malaysia akibat patah pergelangan tangan.

Marquez mengakui cabaran terbesar sepanjang kariernya adalah mengawal naluri untuk terus menyerang ketika berada dalam situasi sukar.

"Saya cuba mengawal naluri sendiri. Itulah masalah terbesar sepanjang karier saya.

"Namun, naluri itu juga yang memberikan peluang kepada saya untuk memburu kejuaraan luar biasa ini," katanya.

Martin setakat ini hanya meraih satu kemenangan dalam musim yang turut terganggu akibat kecederaan, manakala Bezzecchi yang menghuni tangga ketiga keseluruhan turut kehilangan mata penting pada beberapa perlumbaan.

Malah, adik Marquez yang juga pelumba Gresini Racing, Alex Marquez berpandangan persaingan sesama pelumba Aprilia menjadi antara faktor utama kegagalan pasukan itu mempertahankan kelebihan.

"Aprilia kehilangan kejuaraan kerana mereka berdepan Marc. Jika tidak, perkara ini mustahil berlaku," katanya.

Marquez kemudian memanfaatkan sepenuhnya keadaan itu dengan mempamerkan aksi konsisten di litar selain menggunakan pengalaman dan kelebihan psikologi untuk memberikan tekanan kepada pencabar.

Ketika Martin sebelum ini mendakwa Marquez satu-satunya pelumba yang mampu menentukan nasib kejuaraan, pelumba Ducati itu membalas dengan penuh keyakinan:"Mereka satu-satunya pihak yang boleh kehilangan kejuaraan ini."

Akhirnya, Marquez menyempurnakan misi kejuaraan di Portugal sekali gus melengkapkan perjalanan kariernya di negara yang menjadi lokasi permulaan penglibatannya dalam sukan permotoran 18 tahun lalu.

Dalam satu upacara penuh simbolik, Marquez menaiki tangga di hadapan paparan imej seekor kambing yang merujuk kepada gelaran Greatest of All Time (GOAT) sebelum Agostini menyerahkan topi keledar emas sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasanya.