Jerebu: Sekolah di Kuala Lumpur, Putrajaya ditutup esok

Iklan
Ruang udara Kuala Lumpur diselubungi jerebu tebal sehingga menjejaskan jarak penglihatan ketika tinjauan pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta daerah Rompin di Pahang diarah tutup esok berikutan situasi jerebu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, sekolah di negeri lain iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Labuan pula beroperasi seperti biasa.

Iklan
Iklan

Beliau turut menzahirkan rasa prihatin mengenai kesulitan dihadapi ibu bapa susulan pengumuman penutupan sekolah berkenaan yang memberi kesan kepada urusan harian.

"Kita akan memastikan sebarang keputusan penutupan sekolah dimaklumkan lebih awal supaya ibu bapa mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan," katanya sambil menambah keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan kementerian.

Iklan

Sehubungan dengan itu, Fadhlina menasihati ibu bapa agar sentiasa mengikuti perkembangan dan makluman rasmi daripada pihak sekolah, JPN dan PPD masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memaklumkan penutupan semua sekolah di negeri itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di tiga stesen pemantauan iaitu Port Dickson, Seremban dan Nilai setakat 5 petang.

Iklan

JPN Melaka pula memaklumkan keputusan penutupan diambil susulan pemantauan berterusan pihaknya dan laporan rasmi Jabatan Alam Sekitar yang menunjukkan IPU di kawasan utama negeri itu melepasi paras 150 iaitu pada tahap tidak sihat. 

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dalam kenyataan memaklumkan penutupan sekolah dibuat berasaskan bacaan IPU di stesen pemantauan setakat 5 petang tadi, manakala penutupan sekolah di ibu negara berdasarkan IPU di Stesen Cheras dan Batu Muda setakat 2 petang. 

Di Selangor, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan semua sekolah agama negeri di bawah jabatan itu ditutup sepenuhnya mulai esok, selain menyarankan sekolah Islam persendirian yang berdaftar dengan jabatan berkenaan mengikuti ketetapan berkenaan.

Berikutan penutupan itu, semua institusi pendidikan yang terjejas hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.

Berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan, para guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan berkenaan, manakala ibu bapa dinasihatkan sentiasa merujuk maklumat daripada saluran rasmi.- Bernama